WILAYAH - SELATAN > BERITA

Suspek Kes Bunuh Stabil Tapi Lemah, Polis Tunggu Pulih Untuk Mula Siasatan

31/01/2026 07:45 PM

BATU PAHAT, 31 Jan (Bernama) -- Suspek kes bunuh seorang wanita di sebuah rumah di Taman Damai, di sini, yang dilaporkan kritikal akibat kesan kelar di leher serta pergelangan tangan kini berada dalam keadaan stabil namun masih lemah.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat ACP Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata pihaknya akan menunggu hingga suspek pulih terlebih dahulu sebelum melakukan sebarang siasatan berhubung kejadian mangsa yang dilaporkan hilang sejak Selasa lepas dan ditemukan maut semalam.

“Suspek masih berada di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), keadaanya telah stabil dan mulai sedar. Keterangan masih belum direkodkan memandangkan tindak balas suspek masih perlahan, kita tunggu keadaannya pulih,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata polis kini masih menyiasat motif kejadian dan suspek telah direman tujuh hari bermula semalam untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Semalam, polis mengesahkan penemuan mayat seorang wanita tempatan di sebuah rumah di Taman Damai, di sini, dipercayai dibunuh teman lelakinya, selepas gagal dihubungi ahli keluarga selama tiga hari.

Mayat wanita berusia 41 tahun yang bekerja di sebuah pasar raya itu, ditemukan terbaring di atas katil selepas polis bersama ahli keluarga mangsa dan pemilik rumah menyerbu kediaman yang disewa mangsa pada kira-kira 12.30 tengah malam. 

Turut ditemui seorang lelaki berusia 44 tahun, dipercayai teman lelaki mangsa, terbaring di atas katil bersebelahan dalam keadaan kritikal akibat kesan kelar di leher serta pergelangan tangan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan