WILAYAH - TIMUR > BERITA

Pantai Panjang, Sungai Bercabang Jadi Laluan Licik Jenayah Rentas Sempadan

01/02/2026 10:31 AM

Oleh Muhammad Afiq Mohd Asri

PASIR PUTEH, 1 Feb (Bernama) -- Garis pantai yang panjang dan jaringan sungai yang bercabang menjadi cabaran utama usaha penguatkuasaan keselamatan sempadan perairan di Kelantan, namun secara keseluruhannya perairan di negeri itu masih terkawal.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan Kepten Maritim Erwan Shah Soahdi berkata kedudukan geografi negeri itu yang terletak di sempadan perairan negara jiran, selain mempunyai laluan sungai yang cetek dan bersambung ke kawasan pedalaman sering dimanfaatkan sindiket penyeludupan untuk mengelak dikesan pihak berkuasa.

Beliau berkata berdasarkan statistik tangkapan, kebanyakan kes yang direkodkan melibatkan kes perikanan dan imigresen, khususnya pencerobohan nelayan asing dari Vietnam selain penyeludupan rokok.

“Pada awal tahun lepas, kami merekodkan satu tangkapan besar melibatkan rampasan kira-kira 2,100 karton rokok bernilai lebih RM13.3 juta. Selain itu, terdapat juga beberapa kes lain melibatkan rokok serta pendatang tanpa izin,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Beliau berkata sindiket penyeludupan lazimnya menggunakan bot pancung kecil berkelajuan tinggi untuk memasuki perairan Kelantan sebelum menyusuri sungai-sungai yang cetek dan bercabang, sekali gus menyukarkan operasi mengejar sehingga ke kawasan pedalaman.

“Dengan kapasiti aset yang ada, memang agak mencabar untuk mengejar sehingga ke hulu sungai. Oleh itu, kami banyak bergantung kepada pemantauan serta maklumat risikan yang kukuh sebelum melaksanakan sebarang tangkapan,” katanya.

Beliau berkata cabaran operasi turut dipengaruhi faktor cuaca, khususnya semasa musim monsun apabila keadaan laut tidak menentu dan bergelora, selain perubahan waktu pergerakan penyeludup yang sukar dijangka.

“Keadaan ini ditambah dengan tindak balas agresif daripada suspek termasuk provokasi dan tindakan berbahaya bagi mengelak daripada ditahan,” katanya.

Erwan Shah berkata bagi kes pencerobohan nelayan asing, majoriti kru terdiri daripada warga Vietnam manakala kru campuran melibatkan warga Myanmar dan Thailand yang kebiasaannya bekerja di atas bot nelayan tempatan.

Beliau berkata setakat ini APMM Kelantan tidak pernah merekodkan kes penggunaan bot nelayan tempatan atau asing untuk mengangkut pendatang tanpa izin, namun terdapat kes melibatkan pekerja tanpa Permit Lawatan Kerja Sementara atau pas yang telah tamat tempoh.

“Sebagai prosedur operasi standard, setiap bot dan aset yang dikesan akan diperiksa. Sekiranya terdapat unsur mencurigakan, pemeriksaan lanjut akan dibuat,” katanya.

Beliau berkata APMM Kelantan melaksanakan lebih 2,500 pemeriksaan aset laut setahun dan setakat ini tiada kes pengangkutan pendatang tanpa izin menggunakan bot nelayan dikesan.

Dalam pada itu, Erwan Shah berkata kerjasama komuniti maritim dan nelayan tempatan amat memberangsangkan dan menjadi antara sumber maklumat penting kepada pihak maritim.

“Ada kes yang berjaya dikesan hasil maklumat daripada nelayan. Walaupun maklumat itu tidak sentiasa tepat, ia membantu kami membuat pemantauan dan operasi di kawasan berisiko,” katanya.

Beliau berkata kawasan perairan Kelantan meliputi kira-kira 22,000 kilometer persegi dengan garis pantai sepanjang lebih kurang 88 kilometer, selain mempunyai banyak sungai yang bercabang dan bertemu di beberapa muara.

Erwan Shah berkata APMM Kelantan kini mengoperasikan tiga kapal bersaiz antara 40 hingga 45 meter serta lima bot bersaiz 12 hingga 20 meter bagi melaksanakan rondaan dan penguatkuasaan.

“Dengan kekuatan aset yang ada, kami akan terus berusaha sedaya upaya bagi memastikan keselamatan serta kedaulatan perairan negara sentiasa terpelihara,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan