WILAYAH - TIMUR > BERITA

PDRM Siasat Kes Lelaki Didakwa Cedera Akibat Dipukul Polis

01/02/2026 12:34 PM

KUALA NERUS, 1 Feb (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung dakwaan lelaki yang mengalami kecederaan akibat dipukul polis ketika Ops Samseng Jalanan di Dungun baru-baru ini.

Ketua Polis Terengganu Datuk Mohd Khairi Khairuddin berkata pihaknya telah membuka kertas siasatan berhubung kes berkenaan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan menegaskan tidak akan melindungi mana-mana individu yang didapati terlibat dalam insiden itu.

"Untuk makluman, kita telah menerima laporan berkaitan kejadian tersebut dan siasatan akan dijalankan. Dakwaan melibatkan seorang individu yang mendakwa dipukul (cedera dipukul polis).

"Siasatan dibuka di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan. Jika hasil siasatan mendapati dakwaan itu benar dan melibatkan anggota PDRM, saya tidak akan melindungi mana-mana pelaku dan tindakan tegas akan diambil," katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Terengganu di sini hari ini.

Semalam, tular di media sosial hantaran yang memaparkan beberapa gambar seorang lelaki mengalami kecederaan, didakwa dipukul oleh anggota polis semasa operasi yang dijalankan oleh pihak berkuasa.

Mengulas lanjut, Mohd Khairi berkata pihaknya mengesahkan terdapat satu video yang tular berkaitan kejadian lelaki yang didakwa cedera dipukul, namun perbuatan memukul seperti yang didakwa tidak kelihatan dalam rakaman berkenaan.

Beliau berkata bagaimanapun, dakwaan berkenaan tetap diambil serius dan siasatan akan dijalankan secara lebih terperinci bagi mengenal pasti fakta sebenar kejadian.

"Kita telah memaklumkan kepada Ketua Polis Daerah Dungun untuk menjalankan siasatan lanjut termasuk mengenal pasti individu yang terlibat dalam kes berkenaan.

“Ketika ini, siasatan masih diteruskan dengan memanggil pengadu bagi melengkapkan keterangan. Sekiranya terdapat saksi yang melihat kejadian terbabit, maklumat mereka juga akan diambil kira,” katanya.

Beliau berkata siasatan masih berjalan dan orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan