KANGAR, 1 Feb (Bernama) -- Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail menyeru umat Islam memperkukuh kefahaman dan pegangan terhadap sunah Nabi Muhammad SAW sebagai sumber asas ilmu dan panduan dalam kehidupan seharian.
Baginda bertitah sunah memainkan peranan penting bukan sahaja dalam ibadah tetapi juga dalam membentuk keperibadian, memperkukuh masyarakat dan membina tamadun yang teguh berlandaskan nilai moral dan etika.
“Sunah membentuk individu yang membina masyarakat dan melahirkan tamadun yang kuat serta berdaya tahan,” titah baginda semasa menyempurnakan majlis penutupan Konvensyen Sunah Antarabangsa Perlis 2026 Siri Ketiga di Dewan 2020 di sini hari ini.
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Lailatul Shahreen Akashah Khalil turut berangkat ke majlis itu.
Tuanku Syed Sirajuddin bertitah umat Islam mesti dibimbing untuk membezakan amalan agama yang berakar umbi daripada ajaran sahih dengan amalan yang dipengaruhi oleh adat atau andaian tanpa asas jelas dalam Islam.
“Islam mempunyai panduan yang jelas, tersusun dan sahih bukan atas amalan warisan yang kekurangan kefahaman yang betul.
“Perkara yang tidak diasaskan oleh panduan sahih, walaupun kelihatan baik pada zahirnya namun mungkin boleh menimbulkan kekeliruan jika tidak diteliti dengan ilmu dan kebijaksanaan,” titah baginda.
Tuanku Syed Sirajuddin bertitah walaupun tradisi budaya boleh diamalkan dalam kehidupan seharian, namun ia mesti kekal dalam batasan ditetapkan al-Quran dan sunah, terutamanya dalam perkara yang tidak dinyatakan secara spesifik hukum syarak.
Baginda bertitah konvensyen bertemakan “Sunah: Sumber Ilmu” yang menarik penyertaan menggalakkan dari dalam dan luar negara mencerminkan peningkatan kesedaran tentang kepentingan dalam mengukuhkan kefahaman sunah dalam masyarakat kontemporari.
Tuanku Syed Sirajuddin juga menzahirkan penghargaan kepada penganjur dan penceramah selain menyifatkan himpunan itu lebih daripada sekadar acara akademik kerana menjadi platform kepada pertukaran ilmu, pandangan dan kepakaran yang bermakna antara cendekiawan serta tokoh dakwah.
Selain itu, baginda bertitah menghidupkan semula sunah dalam pembentukan peribadi dan pembinaan tamadun menjadi keperluan mendesak bagi memastikan kewujudan masyarakat bermaruah dan negara yang makmur.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial