WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Pemandu Lori Parah Ditetak Dua Individu Tidak Dikenali Di Batu Caves

03/02/2026 09:24 AM

KUALA LUMPUR, 3 Feb (Bernama) -- Seorang pemandu lori cedera pada lengan kiri selepas ditetak dua individu tidak dikenali di Taman Sri Murni, Batu Caves, di sini Jumaat lepas. 

Ketua Polis Daerah Sentul ACP Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata dalam kejadian pada 11 malam di sekitar Blok 58 Flat Taman Sri Murni itu, dua lelaki tidak dikenali yang menaiki sebuah motosikal menetak mangsa yang berusia 28 tahun pada bahagian lengan kiri sebanyak empat kali menggunakan parang.

Beliau berkata suspek yang bertopi keledar kemudian memecut motosikal dan melarikan diri

"Siasatan awal mendapati mangsa tidak mengenali suspek. Semasa kejadian, secara tiba-tiba suspek menghampiri mangsa dan terus keluarkan parang menetak lengan mangsa.

“Mangsa juga memaklumkan tidak pernah bermusuh dengan sesiapa dan tidak mengesyaki sesiapa," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ahmad Sukarno berkata menurut saksi kejadian, iaitu teman wanita mangsa yang turut berada di tempat insiden, kejadian itu berlaku amat pantas sehingga wajah suspek yang memakai topi keledar tidak dapat dilihat, selain itu, mangsa juga tiada hutang dengan sesiapa.

Mangsa kini sedang mendapatkan rawatan di Hospital Selayang dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan