WILAYAH - TENGAH > BERITA

Dana Asing Catat Aliran Masuk Bersih Selama Empat Minggu

03/02/2026 12:55 PM

KUALA LUMPUR, 3 Feb (Bernama) -- Pelabur asing kekal sebagai pembeli bersih untuk minggu keempat berturut-turut walaupun aliran masuk asing bersih merosot kepada RM12.8 juta minggu lepas, menurun daripada RM510.9 juta pada minggu sebelumnya.

Menurut MBSB Investment Bank Bhd, pelabur asing merupakan pembeli bersih pada tiga daripada lima hari dagangan, dengan aliran masuk tertinggi dicatatkan pada Isnin (RM135.3 juta), diikuti Selasa (RM68.1 juta) dan Khamis (RM42.6 juta).

“Aliran keluar terbesar dilihat pada Jumaat (RM128.1 juta) dan Rabu (RM105.2 juta),” katanya dalam laporan aliran dananya pada minggu berakhir 30 Jan 2026.

Tiga sektor utama yang mencatatkan aliran masuk asing bersih ialah telekomunikasi dan media (RM16.6 juta), produk perindustrian dan perkhidmatan (RM14.8 juta) dan teknologi (RM8.1 juta).

Sementara itu, tiga sektor utama yang mencatatkan aliran keluar asing bersih ialah perkhidmatan kewangan (RM482.8 juta), utiliti (RM258.2 juta) dan perladangan (RM75.9 juta).

Menurut bank pelaburan itu, begitu juga, institusi tempatan meneruskan aliran belian bersih mereka untuk minggu kedua berturut-turut, mencatatkan aliran masuk bersih sebanyak RM532.3 juta.

Sebaliknya, peruncit tempatan kekal sebagai penjual bersih untuk minggu kesembilan berturut-turut, dengan aliran keluar bersih sebanyak RM545.1 juta minggu lepas.

Purata jumlah dagangan harian (ADTV) menyaksikan peningkatan yang meluas: peruncit tempatan sebanyak 4.0 peratus, institusi tempatan (25.7 peratus) dan pelabur asing (50.8 peratus).

Pada peringkat serantau, pelabur asing di lapan pasaran Asia meneruskan jualan bersih mereka untuk minggu kedua berturut-turut, dengan aliran keluar asing bersih sebanyak US$1.48 bilion, diterajui oleh Korea Selatan, Indonesia, India dan Vietnam.

Pasaran lain yang mencatatkan aliran masuk asing bersih, diterajui oleh Taiwan, Filipina, Thailand dan Malaysia.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan