WILAYAH - UTARA > BERITA

Pulau Pinang Peruntuk Dana RM50.93 Juta , Salur Bantuan Kepada 281,135 Penerima i-Sejahtera

03/02/2026 04:48 PM

GEORGE TOWN, 3 Feb (Bernama) -- Kerajaan Negeri Pulau Pinang memperuntukkan dana sebanyak RM50.93 juta kepada 281,135 penerima Program i-Sejahtera Fasa 1 2026 dengan pembayaran disalurkan mulai 7 Feb ini secara pindahan dana elektronik (EFT).

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata peruntukan itu merangkumi 211,471 penerima Program Penghargaan Warga Emas; 42,674 penerima Program Suri Emas; 16,694 penerima Program Bantuan Orang Kurang Upaya (OKU); dan 10,296 penerima Program Bantuan Ibu Tunggal.

"Bantuan ini merangkumi RM200 seorang untuk Program Penghargaan Warga Emas, Program Bantuan OKU (RM200), Program Anak Emas (RM200 sekali beri (one-off) serta Program Bantuan Ibu Tunggal dan Program Suri Emas masing-masing RM100 seorang," katanya pada sidang media di pejabatnya, di sini, hari ini.

Chow berkata permohonan yang dikemukakan selepas 10 Jan 2026, akan diproses untuk pembayaran fasa kedua dan pendaftaran boleh dibuat melalui laman sesawang i-Sejahtera.

Bagi memastikan kelancaran pembayaran, beliau menggalakkan pemohon untuk mengemas kini maklumat akaun bank masing-masing.

Beliau berkata tahun lepas kerajaan negeri membelanjakan sebanyak RM56.76 juta yang memberi manfaat kepada 290,629 penerima dalam pelbagai program di bawah inisiatif i-Sejahtera.

Chow berkata inisiatif berkenaan bukan sekadar bantuan kewangan semata-mata, tetapi merupakan satu bentuk pengiktirafan terhadap sumbangan serta peranan penting golongan itu dalam pembangunan sosial dan ekonomi negeri.

Program i-Sejahtera merupakan inisiatif kebajikan kerajaan negeri yang disumbangkan dalam bentuk kewangan secara setahun sekali kepada golongan rentan seperti warga emas, OKU, ibu tunggal, suri rumah dan bayi.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan