WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Inkues Zara Qairina: Guru Agama Kongsi Pertemuan Terakhir Dengan Arwah

03/02/2026 06:37 PM

KOTA KINABALU, 3 Feb (Bernama) -- Mahkamah Koroner pada prosiding inkues kematian Zara Qairina Mahathir hari ini mendengar keterangan seorang guru agama yang menceritakan pertemuan terakhirnya bersama arwah, kira-kira dua bulan sebelum kematian pelajar itu.

Saksi ke-63, Nur Ain Jabah, 38, yang mengajar Zara Qairina di Sekolah Agama Negeri (SAN) Kampung Naluyan, Sipitang, berkata pertemuan itu berlaku pada Mei 2025 ketika arwah singgah ke sekolah berkenaan semasa cuti persekolahan.

Nur Ain berkata beliau mula mengajar dan mengenali Zara Qairina sejak 2023 hingga 2024 ketika arwah bersekolah di sekolah agama berkenaan bagi mata pelajaran Tauhid, Akhlak, Hafazan serta Imlak, dan sepanjang tempoh itu hubungan mereka terjalin rapat sebagai guru dan murid.

Guru agama itu berkata pada pertemuan berkenaan beliau bertanyakan keadaan Zara Qairina di sekolah menengah, termasuk sama ada arwah berdepan sebarang masalah atau dibuli oleh rakan-rakan.

“Dia beritahu saya semuanya okey, kawan-kawan semua baik dan tiada sesiapa membuli dia. Dia kata dia gembira berada di sekolah baharu. Itu adalah kali terakhir saya berjumpa dan bercakap dengan arwah,” katanya ketika memberi keterangan di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.

Nur Ain berkata beliau turut menasihati Zara Qairina supaya sentiasa menjaga solat, menghormati guru dan tidak memendam sebarang masalah, selain memaklumkan bahawa beliau sentiasa bersedia mendengar sekiranya arwah berdepan sebarang kesulitan.

Beliau berkata Zara Qairina juga seorang murid yang suka membantu guru, aktif dalam aktiviti kokurikulum serta sering mendapatkan nasihat guru jika berdepan salah faham kecil dengan rakan-rakan.

Saksi itu turut memberitahu mahkamah bahawa beliau pernah mengetahui mengenai perbuatan dikenali sebagai ‘barcode’ (tanda kod bar mencederakan diri sendiri), yang disifatkannya sebagai satu trend dalam aplikasi TikTok, melibatkan beberapa murid termasuk Zara Qairina ketika arwah berada di Tahun 5, namun perkara itu telah ditegur oleh pihak guru dan tidak berulang selepas nasihat diberikan.

Nur Ain turut memaklumkan bahawa pada hari arwah disahkan meninggal dunia (17 Julai 2025), beliau bersama beberapa guru lain sebenarnya merancang untuk melawat Zara Qairina di hospital selepas selesai menghadiri satu majlis di sekolah.

Bagaimanapun, katanya mereka menerima berita mengejutkan mengenai pemergian Allahyarham dan beliau berasa amat terkilan kerana tidak berpeluang bertemu arwah buat kali terakhir.

Sementara itu, saksi ke-64, Guru Besar SAN Kampung Naluyan, Nur Hidayah Mohamad, 39, memberitahu mahkamah bahawa beliau menyifatkan Zara Qairina sebagai murid yang ceria, manja, mudah bergaul dan tidak pernah mempunyai sebarang rekod disiplin sepanjang bersekolah di sekolah agama berkenaan.

Nur Hidayah yang menjawat jawatan guru besar di sekolah berkenaan sejak 2014, berkata beliau mengenali Zara Qairina sejak bayi kerana arwah mempunyai pertalian persaudaraan dengannya selain mengenali arwah sebagai murid sejak belajar di sekolah berkenaan pada usia enam tahun.

Menurut beliau, sepanjang tempoh enam tahun persekolahan, Zara Qairina sering membantu rakan lain termasuk membawa murid yang menangis atau berdepan masalah ke bilik guru, selain konsisten berada dalam kelompok 10 terbaik akademik serta aktif menyertai aktiviti kokurikulum khususnya pertandingan bercerita kisah-kisah nabi sehingga ke peringkat daerah.

Nur Hidayah berkata hubungan Zara Qairina dengan guru-guru di sekolah agama itu dan rakan sekelas juga sangat rapat malah menyifatkan arwah sebagai pencetus suasana ceria dalam kelas.

Zara Qairina, 13, meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai 2025, sehari selepas ditemukan tidak sedarkan diri di longkang berhampiran asrama sekolahnya di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha, Papar, kira-kira 4 pagi.

Pada 13 Ogos 2025, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan inkues dijalankan selepas meneliti laporan siasatan polis, manakala pada 8 Ogos 2025, AGC turut mengeluarkan perintah menggali semula kubur Allahyarham bagi membolehkan bedah siasat dijalankan.

Prosiding inkues bersambung 31 Mac ini manakala sesi ‘locus in quo’, iaitu lawatan ke lokasi kejadian di bangunan asrama sekolah berkenaan yang dijadualkan pada Jumaat ini ditangguhkan.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan