GEORGE TOWN, 3 Feb (Bernama) -- Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) diarah memperketat prosedur operasi standard (SOP) susulan insiden belon berisi gas yang dirampas meletup sehingga mencederakan dua penguat kuasa pada Ahad, kata Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa Pulau Pinang H’ng Mooi Lye.
"Saya telah mengarahkan MBPP meneliti semula serta memperketat SOP penguat kuasa khususnya dari aspek keselamatan supaya dapat menjamin keselamatan anggota penguat kuasa," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
H'ng berkata beliau menziarahi anggota penguat kuasa MBPP di Hospital Pulau Pinang hari ini yang mengalami kecederaan akibat insiden belon meletup semasa operasi penguatkuasaan terhadap penjaja haram dua hari lepas.
Beliau berkata keadaan anggota penguat kuasa itu kini sudah stabil, namun masih perlu menerima rawatan dan dipantau selanjutnya.
Semalam MBPP mengesahkan dua penguat kuasa cedera selepas belon berisi gas yang dirampas meletup sebelum mencetuskan kebakaran dalam kejadian 7.55 malam di hadapan pejabat Jabatan Pelesenan MBPP di Lebuh Union di sini.
Seorang daripada penguat kuasa berkenaan melecur pada kedua-dua tangan serta muka dan dirawat di Hospital Pulau Pinang manakala seorang lagi cedera ringan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial