ALOR SETAR, 4 Feb (Bernama) -- Seorang wanita disyaki pengedar dadah maut manakala rakannya cedera parah selepas kereta Perodua Myvi yang dinaiki mereka terbabas di hadapan Pejabat Tanah, Jalan Suka Menanti di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Syed Basri Syed Ali berkata dalam kemalangan pada 8.20 malam itu, wanita berusia 33 tahun tersebut maut di tempat kejadian manakala rakannya berusia 37 tahun cedera parah.
“Ketika sedang melakukan operasi Op Gempur di kawasan terbabit, anggota bertugas ternampak kereta yang dinaiki kedua-dua wanita itu yang dalam keadaan mencurigakan. Polis telah mengejar kenderaan terbabit sebelum berlakunya kemalangan.
“Akibat daripada itu, seorang daripada suspek meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lagi cedera parah. Hasil pemeriksaan lanjut telah menjumpai plastik berisi bahan disyaki dadah jenis heroin seberat 210 gram,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Syed Basri berkata suspek iaitu pemandu kereta yang mengalami kecederaan parah didapati mempunyai 12 rekod lampau berkaitan dadah manakala suspek yang maut mempunyai tiga rekod lampau kes dadah dan satu kes jenayah.
“Mayat wanita tersebut dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini untuk tindakan lanjut manakala rakannya yang parah dirawat di hospital sama.
“Siasatan dilakukan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (ADB) 1987,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial