WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Tiga Kanak-kanak Lemas Dalam Kolam Kumbahan Di Sibu Jaya

04/02/2026 08:49 PM

SIBU, 4 Feb (Bernama) -- Tiga kanak-kanak termasuk dua beradik lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam sebuah kolam kumbahan berhampiran Flat Sibu Jaya, di sini petang tadi.

Mangsa dikenal pasti sebagai Macx Devdynne Sharie Merdeka, 12, adik lelakinya Macx Welwait Merdeka, 9, dan jiran mereka Daniella Arissa Tayas Maringgai, 10.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak dalam kenyataan memaklumkan pihaknya menerima panggilan kejadian pada 4.03 petang sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu Jaya digerakkan ke lokasi.

Setibanya di tempat kejadian, bomba mendapati ketiga-tiga mangsa yang terdiri daripada dua kanak-kanak perempuan dan seorang kanak-kanak lelaki didapati telah dibawa naik ke tebing kolam oleh orang awam.

“Pemeriksaan lanjut oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan kesemua mangsa telah meninggal dunia di lokasi kejadian,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Sibu Andy Alie berkata kolam kumbahan berkenaan terletak kira-kira 100 meter dari kawasan perumahan dan telah dipagar.

Bagaimanapun, katanya, terdapat beberapa bahagian pagar yang mengalami kelemahan serta ruang yang membolehkan akses mudah, khususnya kepada kanak-kanak dan beliau percaya mangsa memasuki kawasan berkenaan untuk bermain sebelum kejadian berlaku.

Beliau menasihati ibu bapa dan penjaga supaya lebih berwaspada serta sentiasa memantau pergerakan anak-anak, terutama di kawasan berisiko seperti kolam, tapak pembinaan dan longkang.

“Kanak-kanak secara semula jadi mempunyai rasa ingin tahu dan mungkin tidak menyedari bahaya di sekeliling mereka, justeru pemantauan berterusan oleh ibu bapa amat penting bagi memastikan keselamatan anak-anak,” katanya.

Andy turut menggesa pihak berkuasa berkaitan supaya menjalankan pemeriksaan berkala serta memperkukuh langkah keselamatan di kawasan berisiko bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

Ketiga-tiga mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan dan siasatan lanjut.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan