GEORGE TOWN, 5 Feb (Bernama) -- Kebakaran hutan di Taman Botani Pulau Pinang, Jalan Kebun Bunga, di sini, semalam berjaya dipadamkan sepenuhnya malam tadi, namun kerja-kerja pemantauan di kawasan terjejas masih giat dijalankan hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang John Sagun Francis berkata kebakaran yang bermula pada 6.20 petang semalam berjaya dikawal pada 9.30 malam tadi dan dipadamkan sepenuhnya pada 10.50 malam.
Beliau berkata operasi pemadaman kebakaran seluas lapan hektar itu dibahagikan kepada tiga sektor.
“Setakat pagi ini, kerja-kerja overhaul atau memastikan tiada kebakaran lain berlaku sedang dijalankan di sektor C dengan berbaki hanya kira-kira 10 peratus kebakaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Selain menggunakan "firebeater" dan "jet shooter", pasukan bomba turut membuat parit bagi mengelak kebakaran merebak ke kawasan lain serta menjalankan pemantauan menggunakan dron.
Beliau memaklumkan sebanyak 31 anggota bomba termasuk penyelia terlibat dalam operasi pemadaman dengan dibantu enam Pasukan Bomba Sukarela (PBS) serta pihak polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).
Punca kebakaran sedang disiasat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial