KUALA LUMPUR, 5 Feb (Bernama) -- Nilai transaksi perbelanjaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) di pasaran tempatan mencecah RM4.8 bilion sepanjang 2025, dengan 99 peratus penerima menggunakan kemudahan bantuan tanpa tunai itu melalui MyKad.
Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata daripada peruntukan RM5 bilion bagi SARA bulanan di bawah Sumbangan Tunai Rahmah (STR), hampir 5.6 juta penerima menggunakan MyKad untuk membeli barangan asas di premis berdaftar.
Beliau berkata SARA merupakan bantuan tanpa tunai yang disalurkan dalam bentuk kredit melalui kad pengenalan dan boleh digunakan di kedai-kedai berdaftar sebagai rakan niaga bagi membeli 14 kategori barangan keperluan asas.
“Pendekatan ini membolehkan kerajaan memantau pelaksanaan program secara berkesan dan memastikan golongan sasar benar-benar manfaatkan bantuan bagi tujuan yang dinyatakan. Peningkatan peruntukan STR dan SARA dari tahun ke tahun ialah komitmen kerajaan dalam memperkukuhkan jaringan keselamatan sosial.
“Bantuan ini khususnya SARA merupakan mekanisme bantuan bersasar yang membantu rakyat menangani peningkatan kos sara hidup,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Amir Hamzah menjawab soalan Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa (PH-Sekijang) mengenai jumlah peruntukan program SARA melalui sistem MyKasih yang dibelanjakan sepanjang 2025 dan nilai sebenar transaksi dijana dalam pasaran tempatan.
Dr Zaliha juga ingin tahu status baki bantuan yang tidak dibelanjakan sehingga tarikh luput 31 Dis 2025 serta pelan penambahbaikan sistem bagi 2026.
Bagi SARA one-off pula, Amir Hamzah berkata lebih 21 juta rakyat Malaysia membuat perbelanjaan iaitu 96 peratus daripada keseluruhan penerima, dengan nilai transaksi di pasaran tempatan melebihi RM2.05 bilion.
Mengulas baki peruntukan SARA 2025, beliau berkata sebanyak RM150 juta tidak dibelanjakan atau tidak dituntut sehingga 31 Dis 2025 dan akan diagihkan semula kepada kumpulan sasar lain.
Dana itu, katanya akan disalurkan antaranya kepada penghuni pusat perlindungan khususnya mangsa keganasan rumah tangga di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) serta pelajar Orang Kurang Upaya (OKU) dan pelajar berkeperluan khas di bawah Kementerian Pendidikan (KPM).
Selain itu, beliau berkata peruntukan berkenaan turut melibatkan pembelian peranti perubatan untuk pesakit miskin di bawah Kementerian Kesihatan (KKM) serta penubuhan dan pengukuhan bank masakan dapur siswa dengan peruntukan khusus RM15 juta di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
“Pengagihan semula dana ini bukan sahaja memastikan ketelusan dan kecekapan pengurusan kewangan awam malah memperkukuh jaringan keselamatan sosial negara. Tumpuan kepada kumpulan rentan seperti mangsa keganasan rumah tangga, OKU dan pesakit miskin memperlihatkan keutamaan kerajaan terhadap prinsip keadilan sosial dan kemanusiaan.
“Langkah ini juga membuktikan keupayaan kerajaan mengurus dana awam secara fleksibel dan responsif terhadap keperluan semasa. Ia turut mencerminkan pendekatan kerajaan yang lebih bersasar dan inklusif dalam menangani isu kebajikan sosial,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial