WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Sri Lanka Perkukuh Hubungan Dengan Malaysia, Seru Diaspora Bantu Ekonomi

05/02/2026 12:29 PM

KUALA LUMPUR, 4 Feb (Bernama) -- Sri Lanka mengulangi komitmennya untuk memperkukuh hubungan bilateral yang terjalin sekian lama dengan Malaysia sempena sambutan Hari Kemerdekaan negara itu yang ke-78.

Pemangku Pesuruhjaya Tinggi ke Malaysia, M. I. Mohamed Rizvi menyatakan bahawa hubungan antara kedua-dua negara kekal utuh dan positif, diperkukuh lagi dengan siri lawatan peringkat menteri baru-baru ini. Beliau menambah bahawa pihak Suruhanjaya Tinggi kini sedang berusaha membina hubungan ekonomi  dan jalinan rakyat-ke-rakyat yang lebih mampan.

Berucap pada majlis sambutan itu pada Rabu, Rizvi menggalakkan komuniti Sri Lanka di Malaysia untuk turut serta menyumbang kepada pemulihan dan pertumbuhan ekonomi tanah air mereka.

Menurut beliau, golongan diaspora memainkan peranan penting dalam mempromosikan Sri Lanka sebagai destinasi perdagangan, pelaburan, dan pelancongan kepada rakyat Malaysia.

“Kami menjemput semua rakyat Sri Lanka dan mereka yang berketurunan Sri Lanka untuk melawat negara asal. Mereka boleh menjalankan perniagaan serta membuat pelaburan di sana.

Promosikanlah Sri Lanka di Malaysia untuk meningkatkan urusan perniagaan, promosi pelancongan, pelaburan, dan perdagangan,” katanya.

Mengenai kebajikan pekerja Sri Lanka di Malaysia, beliau menegaskan bahawa pihak perwakilan sentiasa memberi keutamaan melalui Bahagian Buruh dan Kebajikan.

Beliau turut menasihati warga Sri Lanka agar sentiasa mencari peluang pekerjaan melalui saluran yang sah. Colombo amat menghargai peranan dan kerjasama berterusan Malaysia dalam rangka kerja pengambilan pekerja serta pengaturan antara kerajaan (G2G).

Dalam aspek pendidikan, Rizvi menyatakan Malaysia merupakan destinasi utama bagi pelajar Sri Lanka, dengan anggaran 4,000 hingga 5,000 pelajar sedang menuntut di sini ketika ini. Beliau turut mendedahkan bahawa Malaysia adalah negara kedua yang mempunyai populasi dan jumlah pelajar Sri Lanka terbesar di luar negara.

Kira-kira 400 tetamu hadir dalam majlis peringatan itu yang disifatkan oleh Rizvi sebagai lebih daripada sekadar upacara rasmi, sebaliknya satu sambutan perpaduan dan kemanusiaan.

Sri Lanka mencapai kemerdekaan pada 4 Februari 1948.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan