WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Jok Maduh D’Kenang Tarikan Baharu Ekopelancongan Di Perak

05/02/2026 04:39 PM

SUNGAI SIPUT, 5 Feb (Bernama) -- Kawasan rekreasi Jok Maduh D’Kenang berpotensi menjadi model ekopelancongan berasaskan komuniti Orang Asli yang selamat, mampan dan menjana ekonomi setempat, kata Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak Loh Sze Yee.

Loh berkata Jok Maduh D’Kenang yang bermaksud “Jom ke Kenang” unik kerana terletak di dalam penempatan Orang Asli, sekali gus memberi jaminan keselamatan kepada pengunjung walaupun dikelilingi hutan dan alam semula jadi.

Beliau berkata kawasan seluas 0.4 hektar itu terdiri daripada tapak perkhemahan dan ruang rehat berkonsepkan kampung menggunakan bahan semula jadi seperti buluh dan kayu serta sesuai untuk aktiviti santai.

"Tarikan utama ialah Sungai Korbu yang cetek, tidak terlalu deras dan mempunyai dasar yang agak rata, menjadikannya selamat untuk kanak-kanak, warga emas dan pengunjung pelbagai peringkat usia.

“Pembangunan dilaksanakan secara berfasa, bermula dengan kawasan sungai yang mesra kepada semua sebelum dikembangkan kepada sungai yang lebih deras, aktiviti merentas hutan serta lawatan ke air terjun yang masih terpelihara,” katanya pada sidang media selepas merasmikan pembukaan Jok Maduh D’Kenang di Perkampungan Orang Asli Kampung Kenang dekat sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Perak/Kedah Harulnizam Abd Rahman dan Pengarah Global Environment Centre (GEC) Faizal Parish.

Loh berkata projek Jok Maduh D’Kenang bermula Mac 2024 dan siap pada Julai 2025 hasil kerjasama Koperasi Orang Asli Kampung Kenang Baru, Kementerian Kewangan (MOF), Yayasan Hasanah, GEC serta JAKOA dengan jumlah pelaburan keseluruhan dianggar sekitar RM500,000.

“Pelancaran destinasi ini merupakan peluang penting untuk memperkenalkan keunikan alam semula jadi Malaysia serta budaya masyarakat tempatan, khususnya komuniti Orang Asli Temiar kepada dunia sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.

“Kerajaan negeri menyokong penuh usaha ini dengan memberi tumpuan kepada produk pelancongan yang berteraskan komuniti, berkualiti tinggi dan memberi manfaat langsung kepada penduduk setempat, khususnya dalam segmen ekopelancongan dan pelancongan budaya,” katanya.

Loh berkata aspek keselamatan kawasan tersebut sentiasa dipantau penduduk tempatan yang bermalam di lokasi, selain kedudukannya di dalam kampung memudahkan bantuan disalurkan sekiranya berlaku kecemasan.

“Penduduk Orang Asli sangat peka terhadap persekitaran. Mereka mampu mengesan tanda-tanda bahaya termasuk kehadiran haiwan liar, menjadikan kawasan ini bukan sahaja unik tetapi juga selamat.

“Jok Maduh D’Kenang dapat dijadikan contoh untuk diperluas ke kawasan lain, terutamanya di penempatan Orang Asli, sebagai usaha memperkukuh ekosistem pelancongan negeri dan meningkatkan kesejahteraan ekonomi komuniti luar bandar,” katanya.

--BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan