GEORGE TOWN, 5 Jan (Bernama) -- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang terus memantau lokasi kebakaran hutan di Taman Botani Pulau Pinang di sini bagi mengelakkan kejadian yang sama berulang, kata Pengarahnya Mohamad Shoki Hamzah.
Beliau berkata walaupun kebakaran berjaya dipadamkan, namun pemantauan menerusi dron serta pemerhatian berkala oleh anggota bomba akan diteruskan bagi mengesan sisa bara api selain dapat memastikan operasi pemadaman dijalankan segera sekiranya insiden sama berulang.
"Pemantauan itu bukan hanya di kawasan kebakaran, malah seluruh hutan di Bukit Bendera kerana lokasi tersebut antara 28 kawasan hotspot kebakaran hutan di Pulau Pinang," katanya kepada pemberita di lokasi kebakaran di Jalan Kebun Bunga, di sini hari ini.
Beliau berkata sejak semalam, keseluruhan kawasan yang terbakar melibatkan keluasan kira-kira lapan hektar daripada keseluruhan 91 hektar Hutan Simpan Island di Bukit Bendera, manakala sebuah pusat kawalan bomba turut didirikan di lokasi bagi menyelaras operasi pemadaman dengan pantas.
Mohamad Shoki berkata cuaca panas dan kering ketika ini, selain status Bukit Bendera sebagai kawasan hotspot kebakaran meningkatkan risiko kejadian kebakaran berulang.
Sementara itu, beliau berkata kebakaran berkenaan dipadam sepenuhnya pada 11 malam tadi melibatkan 67 pegawai dan anggota JBPM dengan dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Bomba Sukarela, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Pengairan dan Saliran serta Jabatan Perhutanan.
Beliau berkata operasi pemadaman dibahagikan kepada tiga sektor iaitu sektor A, B dan C bagi memastikan semua kawasan terjejas dapat dikawal sepenuhnya dan pihaknya turut berdepan cabaran kekurangan sumber air memandangkan lokasi kebakaran berada di kawasan tengah bukit.
"Sumber air hanya terdapat di kawasan bawah dan puncak bukit, manakala kebakaran berlaku kira-kira dua kilometer dari kaki bukit, iaitu kawasan laluan orang awam serta laluan kenderaan pacuan empat roda untuk ke Bukit Bendera.
"Pihak bomba terpaksa membawa air menggunakan tangki yang diangkut dengan kenderaan pacuan empat roda untuk kerja-kerja pemadaman," katanya sambil menambah punca kebakaran masih dalam siasatan.
Mohamad Shoki berkata perbincangan lanjut akan diadakan bagi merangka langkah mitigasi jangka panjang bagi mengelakkan kejadian kebakaran berulang, khususnya di kawasan berhampiran laluan pelancong dan projek pembangunan di Bukit Bendera seperti projek Kereta Kabel Bukit Bendera.
Sementara itu, Pengarah Projek Kereta Kabel Bukit Bendera Muhammad Rizal Muhammad Samadi berkata kawasan kebakaran itu tidak melibatkan jajaran kabel projek tersebut, namun terletak tidak jauh dari kawasan pembinaan.
Beliau berkata pihaknya turut menjalankan pemantauan berterusan bagi memastikan aspek keselamatan terjamin serta perjalanan projek berjalan lancar.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial