WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Hubungan Ekonomi Malaysia-Jepun Sedang Berkembang Menuju Penciptaan Bersama - MIDA

05/02/2026 06:31 PM

KUALA LUMPUR, 5 Feb (Bernama) -- Hubungan ekonomi antara Malaysia-Jepun sedang berkembang, menuju ke arah penciptaan bersama, dengan syarikat Malaysia mengambil bahagian sebagai pembekal, rakan kongsi dan penyedia penyelesaian dalam rantaian nilai serantau dan global. 

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata perkongsian bukan lagi sekadar syarikat besar melabur dan beroperasi secara bebas.  

Beliau menekankan bahawa pendekatan itu tidak terhad kepada Malaysia, dengan peluang kerjasama yang merangkumi seluruh ASEAN dan Asia, mengukuhkan ekosistem serantau sambil menyokong visi penciptaan bersama Jepun yang lebih luas dengan ASEAN. 

“Hala tuju ini diperkukuh menerusi memorandum kerjasama antara MIDA- Pertubuhan Perdagangan Luar Jepun (Jetro) yang ditandatangani pada Oktober 2025, yang menyediakan rangka kerja berstruktur untuk beralih daripada penglibatan kepada perintis kepada pelaburan dan skala,” katanya ketika berucap pada pembukaan Inisiatif Pantas Laluan Jepun-ASEAN hari ini.

Inisiatif itu dilancarkan pada 2023 bersempena dengan ulang tahun ke-50 persahabatan dan kerjasama Jepun-ASEAN, bertujuan memupuk inovasi terbuka serta penciptaan bersama melalui kerjasama antara perusahaan Jepun dan ASEAN. 

“Pada 2023, kami menganjurkan Rancangan Pertukaran Digital Malaysia-Jepun di MIDA dengan kerjasama Jetro.

“Acara itu menunjukkan potensi program pembentangan idea berstruktur untuk menjana kerjasama yang memberi kesan, dan hari ini kerjasama kami telah maju selangkah ke hadapan di bawah Inisiatif Rancangan Laluan Pantas Jepun-ASEAN.

“Apa yang lebih penting, platform seperti ini membolehkan MIDA meneruskan peranan menyokong, proaktif dan ketara — memberikan sokongan kepada inisiatif yang menggalakkan perkongsian berasaskan inovasi serta menonjolkan Malaysia sebagai hab teknologi dan keusahawanan yang boleh dipercayai,” tambahnya. 

Sikh Shamsul berkata tumpuan utama pada masa hadapan melibatkan syarikat pemula niaga teknologi mendalam dalam bidang seperti pembuatan termaju, kecerdasan buatan, bahan, penyelesaian iklim dan pendigitalan perindustrian. 

Katanya, usaha niaga ini mungkin mengambil masa yang lebih lama untuk dibangunkan, tetapi ia memberikan impak yang mendalam. 

“Inilah teknologi yang diperlukan untuk menyokong syarikat multi nasional (MNC), mengukuhkan rantaian bekalan, dan menaik taraf industri, sejajar dengan matlamat Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030,” katanya. 

Sikh Shamsul turut menegaskan bahawa Malaysia sedang memupuk spektrum inovasi yang lebih luas.

“Syarikat pemula niaga merentasi penyelesaian digital, kemampanan, mobiliti pintas, dan aplikasi khusus industri juga penting kepada ekosistem kami. 

“Bersama-sama, mereka mewujudkan penyelesaian yang boleh diskala, memacu penaiktarafan industri dan memperkukuh daya saing.

“Itulah sebabkan syarikat pemula niaga mesti dipupuk dan dipermudah, bukan secara berasingan, tetapi sebagai sebahagian daripada ekosistem perindustrian yang lebih luas, merangkumi korporat, pelabur dan institusi penyelidikan,” tambahnya. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan