WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Larangan Mutlak Import E-sisa Lindungi Alam Sekitar, Kesihatan - SAM Dan CAP

05/02/2026 09:47 PM

GEORGE TOWN, 5 Feb (Bernama) -- Larangan mutlak import e-waste atau e-sisa yang berkuat kuasa serta-merta penting untuk melindungi alam sekitar dan kesihatan awam, di samping menyerdarkan dunia bahawa Malaysia bukan tapak pelupusan sisa.

Menurut Sahabat Alam Malaysia (SAM) dan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dalam kenyataan bersama, Konvensyen Basel mengenai Kawalan Pergerakan Rentas Sempadan Sisa Berbahaya dan Pelupusan melarang pembuangan sisa elektronik oleh negara-negara perindustrian ke negara membangun atau ekonomi yang sedang berkembang.

"Di pelabuhan masuk di Malaysia, penghantaran sisa haram mungkin terlepas pandang, mungkin kerana penghantaran itu diisytiharkan sebagai barangan yang dibenarkan, barangan terpakai, barangan elektronik terpakai atau skrap logam bercampur. 

"Komponen elektronik dan elektrik mengandungi logam berat dan banyak bahan berbahaya, oleh itu pembuangan sisa elektronik dan aktiviti kitar semula haram adalah berbahaya kepada alam sekitar dan mengancam kesihatan pekerja serta komuniti sekitar, kerana ia melepaskan bahan pencemar beracun yang mencemarkan udara, tanah, habuk dan air," menurut kenyataan itu, hari ini.

Menurut SAM dan CAP,  berkata penguatkuasaan tegas sama penting dengan undang-undang dan Malaysia perlu memastikan penguatkuasaan melalui prosedur kastam kukuh dengan kawalan sempadan serta pemeriksaan rawak yang teliti, selain mengenakan hukuman setimpal terhadap pelanggaran undang-undang berkaitan sisa elektronik.

"Garis panduan bagi Pergerakan Rentas Sempadan Peralatan Elektrik dan Elektronik Terpakai (UEEE) juga perlu dinilai semula bagi mengelakkan penyalahgunaan import atas nama “barangan terpakai” atau “boleh dibaiki”.

"Pengumpulan sisa elektronik domestik harus dipertingkatkan bagi memastikan bekalan bahan mentah mencukupi untuk kilang kitar semula berlesen dan pihak berkuasa tempatan (PBT) turut digesa mengambil tindakan terhadap kilang haram dan pembuangan sisa haram di kawasan masing-masing," menurut kenyataan itu.

Pengimportan sisa elektronik diharamkan sepenuhnya berkuat kuasa semalam, dan akan diklasifikasikan di bawah kategori Larangan Mutlak dalam Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.

Keputusan itu dicapai Pasukan Petugas Khas Hala Tuju Pengurusan Penguatkuasaan Pengimportan Sisa Plastik dan E-Waste Dalam Negara, yang dipengerusikan Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki dalam mesyuarat semalam.

Sebelum ini, sisa berkenaan disenaraikan di bawah kategori "Larangan Bersyarat Kecuali Mengikut Cara Yang Diperuntukkan" dalam Jadual Ketiga, Bahagian 1, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan