WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Nilai Transaksi Pasaran Hartanah Malaysia Dijangka Lebih RM250 Bilion Tahun Ini

05/02/2026 10:00 PM

KUALA LUMPUR, 5 Feb (Bernama) -- Pasaran hartanah Malaysia terus berkembang pada kadar yang stabil, dengan jumlah nilai transaksi dijangka melebihi RM250 bilion tahun ini, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.

Beliau berkata jumlah nilai transaksi dalam pasaran hartanah Malaysia telah meningkat secara konsisten daripada RM196.8 bilion pada 2023 kepada RM232.3 bilion pada 2024.

“Pasaran hartanah Malaysia terus berkembang pada kadar yang stabil tanpa sebarang tanda-tanda gelembung. Jumlah transaksi hartanah bertambah baik secara berterusan sepanjang tiga tahun lepas, mencerminkan keadaan pasaran yang baik dan bukannya aktiviti spekulatif,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, kadar pemilikan rumah di Malaysia kini pada 76.5 peratus, mengatasi prestasi beberapa negara maju termasuk Australia, United Kingdom, Amerika Syarikat dan Jerman.

Nga berkata bagi meningkatkan lagi pemilikan rumah, keutamaan kerajaan adalah untuk menaikkan paras pendapatan manakala kawalan harga secara langsung tidak praktikal dalam pasaran bebas.

“Pentadbiran kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim giat menarik lebih banyak pelaburan langsung asing ke dalam negara,” katanya.

Beliau berkata Bank Dunia mengunjurkan Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi menjelang 2028, dengan pendapatan negara kasar (PNK) per kapita US$14,000 atau lebih, sekali gus akan membolehkan lebih ramai rakyat mampu memiliki rumah.

“Daripada perspektif pembeli, jika nilai hartanah yang dibeli tidak meningkat, sebaliknya menurun, tentunya pembeli akan berada dalam keadaan tertekan. Kita mahu peningkatan nilai yang baik bukannya penyusutan atau harga melonjak dengan ketara, yang merupakan pertumbuhan bersifat spekulatif,” katanya.

Dari segi sokongan kewangan, Nga mengulangi bahawa kerajaan telah memperkenalkan Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) bernilai RM40 bilion untuk membantu lebih ramai rakyat Malaysia membeli rumah pertama.

Beliau juga menggesa semua bank supaya menyertai skim itu bagi memperluas akses kepada pemilikan rumah.

“Setakat ini, skim SJKP telah membantu lebih 97,750 orang memiliki rumah pertama, dan kita berharap lebih ramai rakyat Malaysia memperoleh manfaat daripada skim ini yang dijamin oleh kerajaan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan