KUALA LUMPUR, 5 Feb (Bernama) -- Perkhidmatan Ombudsman Pasaran Kewangan (FMOS) telah menerima sebanyak 3,253 aduan dan 2,268 pertikaian telah berjaya diselesaikan melalui kaedah mediasi dan adjudikasi sejak mula beroperasi pada 17 Jan 2025.
Kementerian Kewangan memaklumkan perkara itu dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat yang dikeluarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.
Kementerian itu menjawab soalan Chong Chieng Jen (PH-Stampin) mengenai punca kuasa FMOS dan bagaimana ia dibiayai.
Secara lazimnya, aduan yang diterima akan diselesaikan secara kes demi kes dan penyelesaian pertikaian dianggarkan menjimatkan kos kira-kira RM34.02 juta, yang sebaliknya mungkin ditanggung pengadu sekiranya kes dibawa ke mahkamah.
“Kerajaan ambil maklum dan ingin menegaskan Kerajaan komited dalam memastikan FMOS berfungsi secara telus, adil dan berkesan melindungi hak pengguna.
“Walaupun FMOS dibiayai oleh pihak industri, FMOS beroperasi secara bebas tanpa campur tangan BNM atau Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, dengan keputusan pengadilan dibuat mengikut peraturan FMOS,” katanya.
Kementerian Kewangan juga berkata majoriti ahli lembaga pengarah serta pengadil adalah bebas dan tidak mempunyai kepentingan dalam industri kewangan, bagi menjamin integriti dan ketelusan proses penyelesaian pertikaian.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial