WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Orang Ramai Dijemput Sertai Forum Internet Selamat Ahad Ini

06/02/2026 09:08 AM

KUALA LUMPUR, 6 Feb (Bernama) -- Orang ramai dijemput untuk menyertai Forum Internet Selamat, Tanggungjawab Semua sempena Hari Keselamatan Internet (HKI) 2026 yang akan diadakan di Taman Tasik Titiwangsa di sini, Ahad ini.

Menurut laman sesawang Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) forum yang akan bermula pada 2 petang itu dikendalikan oleh Ariz Ramli atau lebih dikenali sebagai Caprice. 

Forum menampilkan ahli panel, termasuk Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah Polis Diraja Malaysia (PDRM) SAC Siti Kamsiah Hassan, Pesuruhjaya Kanak-Kanak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) Prof Madya Dr Mohd Al Adib dan Pengasas MN Amplified Marketing Muhammad Noor atau lebih dikenali sebagai Madnor.

Sebelum itu, pada sebelah pagi Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil akan melancarkan Kempen Internet Selamat 2026.

HKI 2026 dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi dengan diterajui MCMC sempena Hari Keselamatan Internet Antarabangsa, yang disambut setiap tahun di lebih 170 negara bertujuan mempromosi penggunaan Internet yang selamat, bertanggungjawab dan positif khususnya dalam kalangan kanak-kanak serta golongan muda. 

Bertemakan “Teknologi Pintar, Pilihan Selamat: Penggunaan AI Secara Selamat dan Bertanggungjawab”, HKI 2026 menekankan kepentingan membuat pilihan digital yang bijak dalam memanfaatkan teknologi serta kecerdasan buatan (AI), sejajar dengan perkembangan pesat landskap digital masa kini.

Pelbagai pengisian menarik disediakan kepada pengunjung antaranya Bicara Santai, e-sukan, pameran teknologi, serta reruai Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI).

Selain aktiviti riadah menerusi ExploRace dan sesi interaktif, sambutan itu turut dimeriahkan dengan persembahan busking dan konsert mini yang menampilkan artis popular seperti Kaka Azraff, Insomniacks, Kmy Kmo, Luca Sickta, Ismail Izzani dan Leaism.

Program kali ini turut menekankan aspek keselamatan keluarga melalui sesi perkongsian daripada penyedia platform global seperti Meta yang akan mengulas mengenai Meta Teen Account, alat kawalan ibu bapa serta ciri keselamatan terkini.

Syarikat teknologi lain seperti TikTok dan Google juga dijadual berkongsi input mengenai ciri keselamatan dalam talian serta langkah pengaktifan kawalan ibu bapa bagi memastikan persekitaran digital yang lebih selamat untuk golongan kanak-kanak dan remaja.

Selain majlis penyampaian hadiah bagi Pertandingan Video HKI 2026, pihak NADI juga akan mengadakan sesi interaktif khas mengenai cara melindungi diri daripada ancaman phishing dan penipuan dalam talian.

Orang ramai dijemput hadir memeriahkan sambutan itu yang bermatlamat untuk menyebar luas mesej keselamatan siber dalam suasana santai dan mesra keluarga.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan