WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Jabatan Imigresen Tahan 152 Pendatang Tanpa Izin Di Pusat Beli Belah Di Cheras

06/02/2026 10:29 AM

KUALA LUMPUR, 6 Feb (Bernama) -- Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 152 pendatang tanpa izin atas pelbagai kesalahan dalam Op Selera dan Op Sapu di premis menjual makanan di sebuah pusat beli-belah terkenal di Cheras, malam tadi.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Imigresen Datuk Lokman Effendi Ramli berkata dalam operasi lebih dua jam bermula 8 malam itu, 890 individu diperiksa melibatkan 458 warga asing dan 432 warga tempatan.

Beliau berkata daripada jumlah itu, 82 lelaki dan 70 wanita berusia 21 hingga 42 tahun antaranya dari Myanmar, China, Indonesia dan Bangladesh ditahan atas kesalahan, termasuk tiada dokumen perjalanan sah, melanggar syarat pas, tinggal lebih masa dan pemegang kad yang tidak diiktiraf di bawah Akta Imigresen 1959/63.

“Jabatan Imigresen menjalankan risikan selama seminggu di lokasi sebelum operasi dijalankan berikutan  aduan orang ramai mengenai kehadiran ramai warga asing yang bekerja di premis menjual makanan di pusat beli-belah itu,” katanya kepada pemberita selepas operasi itu.

Lokman Effendi berkata operasi penguatkuasaan itu melibatkan 112 pegawai dan anggota JIM dan kesemua yang ditahan dibawa ke Depot Tahanan Imigresen KLIA untuk siasatan lanjut.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata kira-kira 155,000 warga asing telah mendaftar di bawah Program Repatriasi Migran 2.0 (PRM 2.0) setakat ini dan 138,000 daripadanya telah dihantar pulang ke negara asal secara sukarela.

Beliau berkata warga Bangladesh mencatatkan jumlah tertinggi mengikuti program itu, diikuti warga Indonesia dan jumlah pendaftaran dijangka meningkat menjelang tarikh tutup pada April ini.

"Hasil daripada denda kompaun yang dikenakan melalui program ini telah menyumbang lebih RM77 juta kepada negara,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan