WILAYAH - UTARA > BERITA

Polis Tahan Tiga Lelaki Miliki Pelbagai Spesies Kura-kura

06/02/2026 04:12 PM

KANGAR, 6 Feb (Bernama) -- Polis menahan tiga lelaki dalam lingkungan 40-an kerana memiliki pelbagai spesies kura-kura tanpa kebenaran dipercayai untuk dijual dalam pasaran gelap menerusi serbuan berasingan pada Rabu lepas.

Ketua Polis Perlis Datuk Muhammad Abdul Halim berkata tiga lelaki itu masing-masing ditahan di kawasan Taman Perlis di sini, Jalan Kaki Bukit dan kawasan hutan kebun di Padang Besar menerusi operasi bersepadu pada 12.30 tengah hari.

Beliau berkata operasi melibatkan Biro Jenayah Hidupan Liar (WCB)/Perisikan Siasatan Khas (PSK) Bukit Aman dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis serta Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN).

“Serbuan berjaya merampas 45 kura-kura hidup pelbagai spesies yang memerlukan lesen atau permit sah mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) dengan tiga lelaki tersebut gagal berbuat demikian.

“Barangan lain turut dirampas ialah dadah jenis syabu dan ganja seberat 60 gram serta lima sarang burung tempua yang juga kawalan di bawah akta Jabatan PERHILITAN, telur dipercayai telur kura-kura dan siung serta peralatan dipercayai berkaitan dengan aktiviti haram ini,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Muhammad berkata nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM287,395 dan kes disiasat mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) dan Akta Dadah Berbahaya 1952.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan