WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Pelancaran Global Filem Taj Mahal Bukti Malaysia Hab Budaya, Diplomasi Serantau - Anwar

07/02/2026 11:01 AM

KUALA LUMPUR, 7 Feb (Bernama) -- Pemilihan Malaysia sebagai destinasi pelancaran global filem epik Taj Mahal: An Eternal Love Story menegaskan peranan negara sebagai hab budaya dan diplomasi serantau, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri yang turut merakamkan penghargaan atas pemilihan itu berkata langkah berkenaan sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai tempat seni diraikan, dialog diperkukuh serta nilai kemanusiaan dipertautkan.

“Malam tadi saya berkesempatan menghadiri tayangan global perdana filem epik Taj Mahal… An Eternal Love Story, satu detik bermakna yang mengangkat seni sebagai jambatan persahabatan, kefahaman dan nilai kemanusiaan sejagat.

“Saya menghargai usaha sahabat saya yang juga pengarah filem ini, Akbar Khan, serta kehadiran barisan pelakon asal yang memaknakan malam bersejarah ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Anwar berkata selepas lebih dua dekad, filem itu kembali ditayangkan dalam versi yang dipertingkat dengan teknologi terkini namun masih mengekalkan keindahan asalnya, selain memberikan pengalaman tontonan lebih segar dan mendalam kepada penonton.

Beliau berkata kisah cinta Shah Jahan dan Mumtaz Mahal terus hidup sebagai lambang pengorbanan, kesetiaan dan keindahan ciptaan insan yang merentas zaman dan peradaban.

Selama 22 tahun selepas tayangan asalnya di India, karya sinematik pemenang anugerah itu dihidupkan semula melalui proses restorasi digital 4K yang menyeluruh, disertai adunan semula bunyi Dolby Atmos.

Malaysia ialah destinasi pertama jelajah antarabangsa filem itu sebelum filem yang mengangkat kisah cinta antara Maharaja Mughal Shah Jahan dengan Mumtaz Mahal, diteruskan ke Indonesia pada 13 Feb dan destinasi lain termasuk Rusia, Asia Selatan dan Asia Barat.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan