WILAYAH - SARAWAK > BERITA

TASK Kutip Lebih RM4 Juta , Laksana Pelbagai Inisiatif Bantu Golongan Memerlukan Di Kedah

08/02/2026 10:15 PM

KUALA LUMPUR, 8 Feb (Bernama) -- Tabung Amanah Sultan Kedah (TASK) berjaya mengumpul kutipan melebihi RM4 juta sejak Januari lepas, mencerminkan sokongan padu masyarakat terhadap kesejahteraan rakyat serta komuniti di negeri itu.

Raja Muda Kedah Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin bertitah TASK telah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi golongan B40 termasuk dalam bidang kebajikan sosial, kesihatan dan kesejahteraan, pemuliharaan alam sekitar, perlindungan haiwan serta pembangunan sukan.

“Kita perlu membelanjakan 50 peratus daripada sumbangan yang diterima kerana itu satu peraturan daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN), dan kami akan pastikan ia diagihkan sebaik mungkin kepada golongan yang memerlukan,” titah baginda kepada media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran TASK di Bukit Kiara di sini pada Sabtu.

Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah dan Sultanah Kedah Sultanah Maliha Tengku Arif berkenan berangkat ke majlis itu.

Tengku Sarafudin Badlishah yang juga Presiden TASK bertitah sebanyak RM2.04 juta telah diagihkan secara terancang dan berhemah hingga penghujung 2025.

Antara inisiatif dilaksanakan dari Oktober 2023 hingga kini ialah sebanyak 2,224 pelajar menerima sokongan melalui program pembangunan diri, latihan kemahiran teknologi termasuk program berasaskan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), penguasaan bahasa Inggeris, program jaminan penempatan kerja, murid berkeperluan pendidikan khas serta penyediaan sarapan pagi.

Baginda bertitah sebanyak 2,117 keluarga B40 turut menerima pelbagai bentuk bantuan termasuk bakul makanan asas, sumbangan wang tunai, bantuan kembali ke sekolah, bantuan Ramadan, baik pulih rumah serta sokongan kepada mangsa bencana bagi meringankan beban kehidupan golongan miskin.

“Selain itu, 2,693 rakyat pula mendapat manfaat melalui akses kepada air bersih, bantuan susu tepung dan multivitamin, khususnya untuk ibu hamil berisiko serta kanak-kanak B40, sejajar dengan usaha meningkatkan akses penjagaan kesihatan asas bagi kumpulan berpendapatan rendah,” titah baginda.

Tengku Sarafudin Badlishah turut memaklumkan sebanyak 114 haiwan menerima manfaat melalui program pemandulan anjing liar, penyelenggaraan pusat perlindungan haiwan serta penyediaan makanan kepada haiwan terbiar, selaras dengan usaha pemuliharaan, kesejahteraan haiwan dan nilai kemanusiaan.

Baginda bertitah merujuk kepada data kemiskinan eKasih Kedah, sebanyak 28,468 isi rumah dikenal pasti dalam kategori miskin manakala 2,294 isi rumah sebagai miskin tegar, setakat bulan lepas.

“Hala tuju TASK ke hadapan ialah memperluas manfaat dan memaksimumkan impak dengan kerjasama kerajaan, sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti serta berdasarkan penilaian impak yang telus, supaya kesejahteraan rakyat Kedah dapat dicapai secara mampan,” titah baginda.

TASK ditubuhkan dengan perkenan Sultan Kedah sebagai platform amanah dan kebajikan untuk menyantuni rakyat, khususnya golongan memerlukan, dan diperbadankan di bawah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri pada 15 Jan 2025.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan