KUALA LUMPUR, 8 Feb (Bernama) -- Kejayaan memeterai 11 Memorandum Persefahaman (MoU) dan dokumen kerjasama bersama India mencerminkan keberkesanan kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai rakan strategik utama di peringkat serantau dan global.
Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan berkata pencapaian itu membuka lembaran baharu kerjasama ekonomi dan politik antara Malaysia dan India, sekali gus meningkatkan keyakinan pelabur global serta meneguhkan kedudukan Malaysia sebagai rakan strategik utama di rantau ASEAN.
“Kejayaan tersebut diperkukuh oleh prestasi perdagangan dua hala Malaysia-India yang mencecah RM79.49 bilion (USD18.59 bilion) pada 2025, menjadikan Malaysia sebagai rakan dagang ketiga terbesar India di ASEAN.
“Prestasi ini mencerminkan hasil reformasi ekonomi, kestabilan politik serta dasar kerajaan yang konsisten dalam menarik pelaburan langsung berkualiti tinggi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata pencapaian berkenaan selari dengan hala tuju kepimpinan Perdana Menteri yang menekankan diplomasi ekonomi berimpak tinggi, pelaburan berkualiti serta kerjasama strategik yang memberi manfaat langsung kepada pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat.
Ramanan berkata lawatan rasmi Perdana Menteri India Narendra Modi ke Malaysia serta pertukaran MoU dan dokumen kerjasama yang disaksikan kedua-dua pemimpin negara turut memperkukuh keyakinan politik dan ekonomi India terhadap kestabilan Malaysia di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI.
“Kerjasama dalam sektor semikonduktor menerusi pemeteraian kerjasama strategik antara kedua-dua kerajaan merupakan isyarat jelas bahawa Malaysia terus dipercayai dalam rantaian nilai industri berteknologi tinggi dan berdaya saing,” katanya.
Menurut Ramanan, pertukaran MoU dan dokumen kerjasama dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), keselamatan sosial antara Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Employees’ State Insurance Corporation (ESIC) India, keselamatan, pengurusan bencana serta penjagaan kesihatan dijangka memberi impak langsung kepada pembangunan modal insan dan penciptaan peluang pekerjaan berkualiti.
Beliau yang juga menteri pengiring sepanjang lawatan Modi berkata pemerkasaan Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP) Malaysia-India disokong oleh prestasi perdagangan dua hala yang kukuh, sekali gus menolak sebarang keraguan terhadap keupayaan kerajaan mengurus ekonomi dan memperkukuh kedudukan Malaysia di peringkat antarabangsa.
“Malaysia hari ini bukan sekadar rakan dagang, tetapi rakan strategik yang dipercayai dan diyakini,” katanya.
Modi berlepas pulang hari ini selepas menamatkan lawatan rasmi dua hari ke Malaysia atas undangan Anwar.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial