WILAYAH - TIMUR > BERITA

Penolong Pengurus Rugi Lebih RM1.3 Juta Angkara "Phone Scam"

09/02/2026 04:05 PM

KUANTAN, 9 Feb (Bernama) -- Seorang penolong pengurus kerugian lebih RM1.3 juta angkara penipuan melalui panggilan telefon atau phone scam pada Disember tahun lepas.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata wanita berumur 55 tahun itu pada mulanya menerima panggilan telefon daripada nombor tidak dikenali yang mendakwa daripada sebuah syarikat perkhidmatan kurier, memaklumkan bahawa mangsa kononnya menerima satu bungkusan mengandungi barangan terlarang.

"Panggilan tersebut kemudian disambungkan kepada individu lain yang menyamar sebagai pegawai polis. Suspek telah memperdaya mangsa dengan mendakwa wang simpanannya perlu disiasat bagi mengenal pasti sumber kewangan yang menyebabkan wanita itu berasa takut dan cemas. 

"Mangsa seterusnya telah diarahkan untuk mengeluarkan wang simpanan daripada akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta pelaburan Public Mutual, sebelum memasukkan wang itu ke dalam tiga akaun bank yang diberikan oleh suspek," katanya dalam kenyataan hari ini. 

Beliau berkata mangsa telah membuat lima transaksi pemindahan wang dalam tempoh 24 Dis 2025 hingga 4 Jan 2026, namun mangsa hanya menyedari telah ditipu selepas gagal menghubungi suspek apabila nombor telefon tersebut disekat.

Yahaya berkata mangsa telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan