WILAYAH - SARAWAK > BERITA

JBPM Beku 80 Peratus Cuti Pegawai, Anggota Pastikan Kesiapsiagaan Ditahap Tinggi

09/02/2026 06:38 PM

PUTRAJAYA, 9 Feb (Bernama) -- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) membekukan cuti 80 peratus atau kira-kira 12,000 pegawai dan anggotanya bagi memastikan kesiapsiagaan sepanjang sambutan Tahun Baharu Cina berada pada tahap tertinggi.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata langkah berkenaan khusus bagi membolehkan tindakan pencegahan kebakaran, sekiranya berlaku di musim perayaan dibuat dengan tersusun, teratur dan berkesan.

“Cuti 80 peratus anggota bomba akan dibekukan minggu ini hingga selesai musim perayaan Tahun Baharu Cina,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan Majlis Penyerahan Jentera Bomba dan Op Siaga Raya 2026 di sini hari ini.

Beliau berkata sepanjang 2025, JBPM melaksanakan 21,000 pemeriksaan bangunan dengan 11,260 notis dikeluarkan kepada 1,612 premis di seluruh negara.

“Kita sasarkan pemeriksaan 18,000 bangunan (dilaksana JBPM) tetapi kita berjaya melepasi sasaran iaitu 21,000 pemeriksaan.

“Notis itu bukan bersifat untuk menghukum tetapi untuk mendidik. Kita harap mereka yang menerima notis akan akur ikuti arahan bomba dan lakukan langkah pencegahan dengan kadar segera sebelum tindakan undang-undang dikeluarkan,” katanya.

Sementara itu, Nga berkata beliau berharap nilai kerugian harta benda akibat bencana kebakaran dapat dikurangkan pada tahun ini berbanding RM 2.24 bilion pada 2025.

“Sasaran kita, kita nak pastikan angka itu terus menunjukkan penurunan walaupun lebih banyak projek sedang dijalankan. Langkah keselamatan dan kesedaran itu wajib kita pupuk bersama,” katanya. 

Terdahulu dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa tanggungjawab menjaga keselamatantidak boleh dipikul oleh kementerian dan agensi semata-mata sebaliknya mesti menjadi budaya yang sebati dalam masyarakat.

“Apabila bermain bunga api, jauhi kawasan kediaman bagi mengelakkan risiko kebakaran dan pastikan kanak-kanak sentiasa berada di bawah pengawasan orang dewasa. Jangan letak perabot, basikal atau barangan yang tidak digunakan di laluan koridor, tangga kecemasan dan ruang laluan kondo kerana ia boleh menghalang laluan keselamatan ketika berlaku kecemasan.

“Kita nak semua rakyat cakna dan berpengetahuan serta mampu melaksanakan penguatkuasaan dan pengurusan risiko secara kendiri,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan