WILAYAH - SARAWAK > BERITA

APPGM-SDG Syor Dokumen Sementara Kepada Kanak-Kanak Tanpa Dokumen

09/02/2026 06:53 PM

KUALA LUMPUR, 9 Feb (Bernama) -- Kerajaan dicadang menyediakan dokumen sementara kepada kanak-kanak tanpa dokumen bagi menjamin mereka menerima akses pendidikan sehingga ke peringkat sekolah menengah.

Cadangan itu dikemukakan Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia berkenaan Matlamat Pembangunan Mampan (APPGM-SDG) bertujuan memastikan golongan berkenaan tidak tercicir daripada menerima pendidikan asas.

Pengarah Jabatan Advokasi Dasar Parlimen APPGM-SDG Dr Teo Sue Ann berkata banyak kanak-kanak khususnya di kawasan pedalaman tidak mempunyai dokumen kelahiran kerana ibu bapa mereka berkahwin mengikut adat selain berdepan kekangan kos logistik untuk urusan pendaftaran.

“Mereka ini bukan pelarian atau migran, tetapi anak tempatan yang lahir di sini. Syor kami adalah membenarkan mereka bersekolah tanpa gangguan birokrasi berkaitan status perkahwinan ibu bapa,” katanya kepada Bernama selepas majlis pelancaran tiga laporan cadangan dasar bagi memperkukuh pelaksanaan SDG di Malaysia di sini hari ini.

Tiga laporan itu ialah Memperkasakan Kesampaian Perlindungan Sosial Inklusif bagi Kumpulan Rentan di Sabah, Cadangan Strategik ke Arah Kesejahteraan Komuniti Pulau-Pulau Kecil di Malaysia dan Penyelesaian ke Arah Pendidikan Inklusif: Hak Pendidikan untuk Golongan Tanpa Dokumen.

Sementara itu, Teo berkata laporan berkenaan juga mencadangkan strategi mengatasi kekangan geografi dan infrastruktur bagi memudahkan akses bantuan kebajikan di Sabah, selain memperkasakan ekonomi golongan rentan.

“Bagi komuniti pulau kecil, kerajaan disyorkan menaik taraf jeti dan menyediakan perkhidmatan bot awam bagi memudahkan akses penduduk ke tanah besar untuk mendapatkan rawatan kesihatan serta pendidikan sekolah menengah,” katanya.

Beliau berkata kesemua laporan itu akan dimuat naik ke laman sesawang rasmi APPGM-SDG dan diedarkan kepada kementerian serta kerajaan negeri untuk tindakan susulan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan