WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Polis Selamatkan Tiga Lelaki Disyaki Mangsa Pemerdagangan Manusia

09/02/2026 09:55 PM

KUALA BERANG, 9 Feb (Bernama) -- Polis berjaya menyelamatkan tiga lelaki warga Bangladesh yang disyaki menjadi mangsa pemerdagangan manusia selepas menyerbu sebuah tapak pembinaan di daerah Hulu Terengganu semalam.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu Supt Sharudin Abdul Wahab berkata serbuan Ops Pintas kira-kira 4.30 petang itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Cawangan D7 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Terengganu.

Beliau berkata pihaknya turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 46 tahun dipercayai majikan kepada tiga warga Bangladesh yang berusia 29 hingga 44 tahun itu.

"Hasil pemeriksaan awal mendapati mangsa bekerja sebagai buruh binaan dengan waktu tidak menentu serta tidak dibayar gaji selama lima bulan.

"Akibatnya mangsa terpaksa mendapatkan sumber makanan dengan menangkap ikan dan memungut hasil hutan di sekitar kawasan Tasik Kenyir," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sharudin berkata siasatan juga mendapati suspek gagal menyediakan tempat tinggal yang kondusif selain turut menyimpan pasport serta permit kerja mangsa.

Beliau berkata mangsa akan dibawa menjalani pemeriksaan kesihatan selepas proses permohonan Perintah Perlindungan Interim (IPO) selesai dan kes disiasat di bawah Seksyen 44 dan Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (APTISOM) 2007.

"Polis memandang serius kes pemerdagangan manusia dan akan terus mengambil tindakan tegas. Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil membantu siasatan," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan