KUALA LUMPUR, 10 Feb (Bernama) -- Ketersediaan dan pendigitalan data merupakan asas utama dalam langkah Malaysia memperkasakan tadbir urus berasaskan data dan merealisasikan aspirasi menjadi negara kecerdasan buatan (AI) menjelang 2030, kata Menteri Digital Gobind Singh Deo.
Beliau berkata keupayaan negara membangunkan ekosistem AI bergantung pada sejauh mana data kerajaan dapat diuruskan secara digital dan dimanfaatkan secara menyeluruh.
“Apabila kita menuju ke arah negara AI 2030, kita perlu melihat kepada ketersediaan data dan memastikan data di kementerian, jabatan dan agensi kerajaan adalah dalam bentuk digital supaya dapat dimanfaatkan untuk pembangunan teknologi baharu,” katanya hari ini.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan Polisi Pendigitalan Data Sektor Awam dan Perluasan Platform Perkongsian Data Sektor Awam (MyGDX) di sini.
Turut hadir Timbalan Menteri Digital Datuk Wilson Ugak Kumbong dan Ketua Pengarah Jabatan Digital Negara Nik Zalbiha Nik Mat.
Menurut beliau, polisi berkenaan digubal bagi memastikan data di kementerian, jabatan dan agensi kerajaan berada dalam bentuk digital serta boleh digunakan untuk pembangunan teknologi baharu.
Seiring dengan pelaksanaan polisi itu, katanya kerajaan turut memperluas penggunaan platform MyGDX bagi membolehkan proses perkongsian data sektor awam dilaksanakan secara lebih menyeluruh.
“Kita perlu melihat kepada proses yang membolehkan data itu disimpan dan dikongsi dengan selamat. Oleh sebab itu, kita ada platform MyGDX ini,” katanya.
Beliau berkata Akta Perkongsian Data menyediakan kerangka perundangan bagi membolehkan data didigitalkan dan dikongsi, pada peringkat awal melibatkan agensi kerajaan dengan kerjasama kerajaan negeri.
Pada masa yang sama, katanya kerajaan sedang mengadakan perbincangan untuk mengenal pasti jenis data yang sesuai dibuka kepada sektor swasta.
“Kita ada perbincangan dan persoalannya ialah di mana keutamaan dan apa yang perlu dibuat dahulu, termasuk melihat jenis data yang sesuai dibuka kepada sektor swasta,” katanya.
Gobind berkata aspek keselamatan platform MyGDX turut diberi perhatian, dengan piawaian keselamatan ditetapkan oleh Jabatan Digital Negara (JDN).
Katanya polisi pendigitalan data itu akan terpakai kepada semua kementerian, jabatan dan agensi kerajaan sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh tadbir urus berasaskan data.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial