SINGAPURA, 10 Feb (Bernama) -- Singapura menaikkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi 2026 antara dua hingga empat peratus berbanding sasaran sebelumnya iaitu satu hingga tiga peratus, menurut Kementerian Perdagangan dan Industri (MTI) republik itu.
Kementerian itu pada hari ini mengumumkan ekonomi Singapura berkembang 5.0 peratus pada 2025, selepas mencatat peningkatan 6.9 peratus tahun ke tahun pada suku keempat (S4) 2025, dipacu oleh sektor pembuatan, perdagangan borong dan kewangan serta insurans.
Momentum pertumbuhan yang lebih kukuh daripada yang dijangkakan pada suku terakhir 2025 diunjurkan berterusan ke tahun ini, katanya.
“Selain ledakan pelaburan dalam kecerdasan buatan (AI), yang dijangka berterusan pada 2026, dasar fiskal yang bersifat pengembangan di beberapa ekonomi seperti Amerika Syarikat (AS), Jerman dan Jepun, serta keadaan kewangan global yang akomodatif, juga dijangka menyokong pertumbuhan global dalam beberapa suku akan datang,” menurut kementerian itu.
MTI juga berkata perdagangan global kekal berdaya tahan walaupun terdapat tarif AS yang berkemungkinan mencerminkan kadar tarif sebenar AS yang lebih rendah daripada kadar yang diumumkan, pengalihan perdagangan hasil penyesuaian rantaian bekalan dan eksport berkaitan AI yang kukuh.
Prospek ekonomi global sebenarnya terdedah kepada risiko kenaikan dan penurunan — lonjakan pelaburan AI yang lebih kukuh daripada jangkaan boleh memberi rangsangan lebih besar kepada permintaan untuk elektronik dan mendorong kenaikan seterusnya dalam pasaran ekuiti, katanya.
“Dari segi lain, peningkatan semula dalam tarif atau ketegangan geopolitik boleh membangkitkan semula ketidakpastian ekonomi, yang akan menjejaskan sentimen perniagaan dan isi rumah.
“Selain itu, sentimen mengelak risiko yang meningkat atau penurunan ketara dalam perbelanjaan modal yang berkaitan AI di peringkat global boleh mencetuskan pembetulan mendadak di pasaran kewangan global, dengan potensi limpahan kepada aktiviti ekonomi yang lebih luas,” tambahnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial