WILAYAH - SARAWAK > BERITA

RM10 Juta Peruntukan Selenggara Perumahan Berstrata, Lif Di Seremban

10/02/2026 03:41 PM

SEREMBAN, 10 Feb (Bernama) -- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui Jabatan Perumahan Negara (JPN) meluluskan projek penyelenggaraan perumahan berstrata swasta bernilai RM10 juta termasuk bagi penggantian lif di kawasan sekitar Majlis Bandaraya Seremban tahun lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan Negeri Sembilan J. Arul Kumar berkata ia antara lain melibatkan kerja mengecat, menurap jalan, menaik taraf tangki air dan sistem retikulasi melibatkan lima rumah pangsa dan sebuah apartmen dengan kos keseluruhan RM1.64 juta.

Peruntukan Tabung Penyelenggaraan Perumahan Malaysia (TPPM) sebanyak RM8.34 juta pula bagi kerja penyelenggaraan dan penggantian lif melibatkan 13 rumah pangsa.

“Kesemua penyelenggaraan ini siap pada Oktober lepas manakala projek penggantian lif dijangka selesai pada Oktober ini. Peruntukan daripada KPKT menyelesaikan banyak isu dihadapi masyarakat,” katanya kepada pemberita selepas melawat ke Rumah Pangsa Senawang 2 di sini hari ini.

Beliau berkata kerja naik taraf tangki air dan sistem retikulasi di beberapa blok kawasan rumah itu melibatkan kos keseluruhan RM497,297 siap pada September lepas dan memanfaatkan kira-kira 1,000 penghuni.

Dalam pada itu, Arul berkata tujuh pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini menerima peruntukan hampir RM43 juta daripada KPKT tahun lepas bagi melaksanakan 162 projek dengan MBS mencatat peruntukan tertinggi sebanyak RM20 juta melibatkan 41 projek.

Peruntukan itu digunakan untuk kerja naik taraf sistem perparitan, pasar awam dan tandas awam, menurap jalan serta mengecat rumah pangsa kos rendah dan sederhana bagi meningkatkan keselesaan dan kemudahan penduduk setempat.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan