WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Afrika Bakal Jadi Pemacu Utama Minyak Sawit Global Dekad Hadapan - Pakar

10/02/2026 04:05 PM

KUALA LUMPUR, 10 Feb (Bernama) -- Wilayah Afrika dijangka menjadi pemacu utama dinamika pasaran minyak sawit global dalam dekad akan datang, selain muncul sebagai pasaran besar bagi komoditi tersebut, kata pakar.

Ketua Pegawai Kelestarian Wilmar International Ltd Jeremy Goon Kin Wai berkata pemain pasaran seharusnya menumpukan perhatian kepada Afrika dengan memanfaatkan permintaan jangka panjang yang kukuh, didorong oleh pertumbuhan populasi di rantau itu.

“Afrika akan membentuk dinamika permintaan minyak sawit selama beberapa dekad, sama ada sebagai pengguna mahupun pengeluar. Namun, untuk membuka potensi permintaan pasaran ini, ia bergantung kepada polisi yang menyokong dan konsisten, infrastruktur serta logistik yang mantap, tadbir urus tanah yang jelas, serta kerangka kelestarian yang pragmatik.

“Dengan populasi dijangka meningkat dua kali ganda kepada kira-kira 2.5 bilion menjelang 2050 dan kira-kira empat bilion pada penghujung abad ini …Afrika akan menguji sejauh mana minyak sawit kekal kompetitif apabila kebolehmilikan, peraturan, dan kelestarian bersilang, selaras dengan urbanisasi pesat dan keperluan keselamatan makanan yang meningkat,” katanya pada sesi panel bertajuk ‘CEO Roundtable: The Next Decade for Malaysian Palm Oil’.

Sesi itu dimoderatorkan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) Belvinder Sron, pada 37th Palm and Lauric Oils Price Outlook Conference and Exhibition (POC) 2026 yang diadakan di sini hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV Holdings Bhd Datuk Fakhrunniam Othman menekankan bahawa penggunaan tanah merupakan kekangan sebenar bagi industri minyak sawit. Beliau berkata terdapat keperluan untuk mula menilai ketersediaan tanah di seluruh dunia serta sejauh mana tanah tersebut diurus dan digunakan dengan cekap.

“Penerokaan tanah bukan lagi pemacu utama pertumbuhan. Masa depan terletak pada penambahbaikan baharu yang berpotensi, pengoptimuman operasi, dan diversifikasi yang dapat membuka nilai sebenar. Akhirnya, strategi tanah bukan hanya mengenai pemain industri dan produktiviti semata-mata.

“Ia juga berkaitan membina daya tahan, mewujudkan set kualiti tertentu, serta menyokong pembangunan manusia dan negara,” katanya.

Beliau menasihatkan bahawa bagi mencapai pertumbuhan hasil, industri perlu menumpukan perhatian kepada penanaman dan hasil yang lebih baik, penanaman semula yang cekap dan terancang, serta pengoptimuman operasi di peringkat ladang.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan