KUALA LUMPUR, 10 Feb (Bernama) -- Polis melumpuhkan sindiket pemerasan seksual dalam talian dan menyelesaikan 32 kes pecah rumah serta kedai di sekitar Johor menerusi Op Bugil dan Op Shutter baru-baru ini.
Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata kedua-dua sindiket jenayah terancang itu menyebabkan kerugian keseluruhan melebihi RM4 juta.
“Menerusi Op Bugil pada 15 Jan, enam lelaki berusia antara 18 hingga 33 tahun ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan akan dituduh di mahkamah Khamis ini.
“Kumpulan jenayah ini aktif sejak awal 2024 dengan anggaran kerugian mangsa melebihi RM3 juta,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata lima lagi ahli sindiket itu termasuk ketuanya iaitu seorang lelaki tempatan berusia 23 tahun masih diburu polis.
Mohd Khalid berkata sindiket itu menjalankan kegiatan penipuan dengan mencipta akaun media sosial palsu atau menyamar sebagai wanita menarik untuk memperdaya mangsa agar melakukan panggilan video lucah.
"Pada masa sama, mangsa dihantar pautan phishing bagi tujuan menggodam data telefon bimbit mereka. Rakaman video lucah mangsa kemudian digunakan sebagai bahan ugutan untuk memeras wang secara berperingkat," katanya.
Selain pemerasan, beliau berkata sindiket itu turut terlibat dalam aktiviti pemerdagangan orang dengan merekrut warga tempatan termasuk individu bawah umur.
Mangsa ditawarkan gaji lumayan antara RM2,200 hingga RM4,000 sebulan sebelum dibawa ke luar negara dipercayai termasuk Laos dan Kemboja serta dipaksa bekerja hingga 12 jam sehari, selain dokumen pengenalan diri dirampas serta didera secara fizikal dan seksual jika ingkar arahan.
Bagi Op Shutter, Mohd Khalid berkata kumpulan itu dipercayai aktif dalam kegiatan pecah rumah dan kedai sejak 2022 hingga Oktober tahun lepas yang menyebabkan kerugian kira-kira RM1 juta.
Beliau berkata dalam operasi pada 24 Jan, dua lelaki berusia 22 dan 26 tahun ditahan mengikut SOSMA, manakala empat lagi lelaki ahli kumpulan yang berusia 22 hingga 38 tahun sedang menjalani tahanan di Penjara Kluang atas kesalahan lain.
"Kumpulan itu menyasarkan rumah teres tidak berpenghuni serta premis perniagaan yang menggunakan pintu jenis shutter dengan memecah masuk menggunakan peralatan seperti kuku kambing atau alat pemotong sebelum melarikan barangan berharga termasuk barang kemas, wang tunai serta kenderaan mangsa," katanya menambah kesemua enam lelaki itu dijangka dituduh mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Khamis ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial