WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Kes Tembak Durian Tunggal: PDRM Tunggu Laporan Agensi Berkaitan

10/02/2026 05:57 PM

KUALA LUMPUR, 10 Feb (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan siasatan berhubung kes tembak mati di Durian Tunggal, Melaka sedang dilengkapkan dan menunggu laporan lanjut daripada agensi berkaitan sebelum tindakan seterusnya diambil.

Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata pihaknya juga sedang berusaha memenuhi segala arahan yang ditetapkan oleh Jabatan Peguam Negara bagi melengkapkan siasatan.

"Kita sedang usahakan mana yang diperlukan arahan-arahan lanjut daripada Jabatan Peguam Negara," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Pada 24 Nov lepas, media melaporkan tiga lelaki berumur 24 hingga 29 tahun ditembak mati selepas seorang daripada mereka didakwa melibas parang ke arah seorang anggota polis di sebuah ladang kelapa sawit di Durian Tunggal pada kira-kira 4.30 pagi sehingga menyebabkan kecederaan parah pada lengan kirinya.

Bagaimanapun, ahli keluarga tiga suspek berkenaan menolak dakwaan tersebut dan susulan itu, polis menubuhkan satu pasukan khas bagi menyiasat kes berkenaan.

Mengulas mengenai berlakunya kes samun di Alor Gajah, Melaka pada Sabtu lepas yang mempunyai modus operandi hampir sama dengan geng Durian Tunggal, beliau berkata polis sentiasa komited dalam usaha mengekang jenayah itu.

Mohd Khalid berkata polis juga menjalankan siasatan bagi melihat kaitan antara satu kes dengan kes yang lain.

Dalam kes berasingan, beliau mengesahkan polis telah menerima laporan berhubung dakwaan kebocoran maklumat membabitkan pertukaran kepimpinan tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Beliau berkata satu kertas siasatan akan dibuka di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 bagi mengenal pasti punca dan pihak yang bertanggungjawab dalam isu tersebut.

"Laporan memang kita ada terima dan kita akan buka kertas siasatan. Kita telah ambil keterangan daripada individu tertentu dan siasatan masih diteruskan," katanya.

Pada 19 Jan lepas, media melaporkan Kementerian Pertahanan memaklumkan sudah membuat laporan polis susulan kebocoran maklumat kenaikan pangkat pegawai kanan ATM.

Mengenai perkembangan kes membabitkan kumpulan jenayah terancang "Geng Captain Praba”, Mohd Khalid berkata pihaknya masih memburu 15 ahli kumpulan itu termasuk dengan bantuan pihak berkuasa negara luar.

Kumpulan itu mula menjadi tumpuan selepas terlibat dalam beberapa siri rompakan berprofil tinggi dengan modus operandi sering membabitkan penggunaan senjata api dan bertindak agresif terhadap mangsa serta pasukan keselamatan.

PDRM sebelum ini melancarkan operasi khas bagi melumpuhkan rangkaian kumpulan terbabit, susulan peningkatan kes jenayah yang dikaitkan dengan ahlinya, termasuk insiden cubaan membunuh anggota polis semasa serbuan dilakukan.

– BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan