WILAYAH - SARAWAK > BERITA

137 Juta Pokok Ditanam Di Seluruh Negara Setakat 31 Dis 2025 - JPSM

11/02/2026 10:29 PM

KUANTAN, 11 Feb (Bernama) -- Sebanyak 137 juta pokok melibatkan 2,091 spesies berjaya ditanam di seluruh negara bagi tempoh 2021 hingga 31 Dis tahun lepas, menerusi Kempen Penanaman 100 Juta Pokok di bawah Program Penghijauan Malaysia.

Menurut kenyataan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) hari ini, Pahang merekodkan pencapaian memberangsangkan dengan 13.4 juta pokok berjaya ditanam, sekali gus membuktikan komitmen kerajaan negeri serta sokongan masyarakat terhadap usaha pemuliharaan hutan dan alam sekitar.

Pahang turut mencipta sejarah pada 2025 apabila menerima pengiktirafan The Malaysia Book of Records bagi penanaman spesies Hutan Paya Gambut terbesar di Malaysia.

“Sebanyak 500 anak pokok spesies ketapang dan ru pantai ditanam bersama komuniti setempat bagi memperkukuh perlindungan kawasan pantai serta memelihara ekosistem pesisir,” menurut kenyataan itu.

JPSM memaklumkan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar turut merasmikan penyerahan Projek Pengawalan Hakisan Pantai di Kampung Tanjung Batu, Nenasi, Pekan kepada Kerajaan Negeri Pahang pada hari ini.

“Projek di bawah Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) itu berjaya disiapkan lebih awal dan berperanan melindungi kawasan pantai sepanjang 4.3 kilometer, sekali gus menjamin keselamatan penduduk, infrastruktur serta keseimbangan ekosistem setempat,” menurut kenyataan itu. 

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan