KUALA LUMPUR, 11 Feb (Bernama) -- Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) membuka pejabat baharu di Taman Ikan Emas, Cheras sempena ulang tahun ke-33 yayasan itu tahun ini.
Pembukaan Pejabat MCPF Kuala Lumpur yang dirasmikan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, dihadiri Ahli Parlimen Bandar Tun Razak Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Fadlun Mak Ujud, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus serta Pengerusi MCPF Kuala Lumpur Datuk Azman Abidin.
Saifuddin Nasution yang juga Pengerusi MCPF dalam ucapan perasmian menyarankan agar yayasan itu terus memainkan peranan sebagai platform kolobrasi strategik antara kerajaan, pihak berkuasa keselamatan, sektor swasta dan komuniti dalam membantu membendung jenayah.
Sementara itu, Azman yang juga Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri pula dalam ucapannya berkata pembukaan pejabat MCPF Kuala Lumpur menjadi simbol komitmen berterusan yayasan itu dalam memperkukuh jaringan keselamatan komuniti serta mempertingkatkan penyelarasan program pencegahan jenayahdi peringkat ibu negara.
“Keberadaan premis ini amat bermakna kerana ia bakal berfungsi sebagai nadi pentadbiran, ruang perbincangan strategik, serta pusat pelaksanaan program komuniti yang inklusif, selaras dengan nilai Kesejahteraan dalam kerangka Malaysia MADANI.
“MCPF Kuala Lumpur adalah satu daripada penyumbang utama kepada aktiviti pencegahan jenayah diperingkat MCPF. Pada 2025, kita telah berjaya melaksanakan 84 program iaitu kira-kira 20 peratus daripada keseluruhan 430 program yang dijalankan oleh MCPF.
“Fokus utama kami kekal pada program berimpak tinggi di sekolah-sekolah, sektor korporat serta komuniti akar umbi,” katanya.
Beliau berkata MCPF komited menjadi peneraju dalam agenda pencegahan jenayah melalui kerjasama strategik pelbagai pihak, memperkasakan komuniti melalui pendidikan, latihan sertaprogram kesedaran jenayah.
Selain itu, MCPF turut menjalin kerjasama erat dengan sektor awam dan swasta bagi memastikan matlamat mewujudkan keselamatan dan keharmonian masyarakat dapat dicapai, khususnya di Wilayah Persekutuan.
Azman berkata perasmian pejabat itu diharapkan menjadi pemangkin kepada pelaksanaan lebih banyak inisiatif kesedaran dan intervensi awal dalam usaha menurunkan kadar jenayah serta meningkatkan rasa selamat dalam kalangan masyarakat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial