WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Penebusan SARA Lancar Setakat Ini – Fahmi

12/02/2026 04:30 PM

PUTRAJAYA, 12 Feb (Bernama) -- Proses penebusan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) Untuk Semua setakat ini lancar sejak mula dikreditkan pada Isnin lepas, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.

Beliau berkata setakat ini tiada isu berbangkit termasuk dari segi capaian sistem dan pihak pelaksana, MyKasih telah membuat persediaan rapi.

“(SARA Untuk Semua) boleh digunakan hingga 31 Dis tahun ini. Alhamdulillah ia bermula tanpa apa-apa masalah. 

“Malah kali ini jumlah produk disediakan juga lebih daripada apa yang terdahulu, termasuk juga barangan sejuk beku. Dan jumlah kedai telah ditambah menjadi 10,000 premis termasuk kedai-kedai runcit. Jadi ini satu berita baik,” katanya ketika berucap pada perhimpunan bulanan Kementerian Komunikasi di sini hari ini

Fahmi berharap sebarang maklum balas berkaitan pelaksanaan SARA disalurkan segera supaya tindakan penambahbaikan dapat dibuat dengan pantas melalui Kementerian Kewangan (MOF).

“Saya harap rakan-rakan di Kementerian Komunikasi terutama Jabatan Penerangan dan MCMC (Suruhanjaya Multimedia dan Multimedia Malaysia) melalui NADI (Pusat Sebaran Maklumat Nasional) sampaikan ke peringkat akar umbi.

“Sekiranya ada apa-apa, insya-Allah kita akan pastikan pihak MOF mendapat maklumat,” katanya.

SARA Untuk Semua mula disalurkan mulai 9 Feb lepas, membabitkan peruntukan RM2.2 bilion dan memberi manfaat kepada lebih 22 juta pemegang MyKad.

Penerima mendapat RM100 secara sekali beri yang boleh digunakan hingga 31 Dis 2026.

Kerajaan turut menambah baik kemudahan pembelian dengan meluaskan kategori barangan kepada makanan sejuk beku, menjadikan 15 kategori keseluruhannya selain menyasarkan 10,000 kedai runcit kecil sebagai Rakan Niaga SARA menjelang hujung tahun.

--  BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan