JOHOR BAHRU, 12 Feb (Bernama) -- Sebanyak 12 individu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen dan Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang Geng Richi dan Geng Vincent sejak dua tahun lepas.
Enam tertuduh daripada Geng Richi ialah Mohamad Hazwan Sazali, 38, N. Navindran, 26, Lim Kam Weng, 26, J. Jivaneswaran, 25, I. Richi, 22, dan R. Kesava Raj, 20.
Mereka mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail dan Hakim Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim, namun pengakuan tidak direkodkan memandangkan kes ini berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Berdasarkan pertuduhan, kesemua mereka didakwa melakukan kesalahan sebagai ahli kumpulan terancang di Taman Permainan Majlis Bandaraya Pasir Gudang, Taman Suria, Masai, antara Februari 2024 hingga 21 Sept 2025.
Bagi pertuduhan membabitkan ahli Geng Vincent, sebanyak enam individu termasuk seorang wanita dan seorang remaja lelaki berumur 17 tahun turut didakwa.
Lima tertuduh dewasa ialah M. Vimalanraj, 27, M. Nageswaran, 33, Tommy Voo Tze Hau, 28, I. Abdul Rahufur Rahim, 31, dan Kuek Pei Lin, 20
Kelima-lima mereka mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Ahmad Kamal dan Che Wan Zaidi, manakala tertuduh remaja didakwa di hadapan Majistret Nur Fatin Mohamad Farid.
Keenam-enam mereka didakwa menyertai Geng Vincent di Jalan Lagenda 34, Taman Lagenda Putra, Kulai antara Mac 2025 hingga 15 Jan 2026.
Pertuduhan terhadap kesemua 12 tertuduh dibuat mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan [Akta 574], yang memperuntukkan hukuman penjara lima hingga 20 tahun jika disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Fakhrurrazi Ahmad Salim dan Lokman Kasim, manakala hanya tiga tertuduh, iaitu Kuek dan remaja bawah umur diwakili peguam Woon Wai King, serta Voo yang diwakili Sharifah Annafiza Al-Shahab Syed Fadzil.
Mahkamah kemudian menetapkan 12 Mac ini untuk sebutan semula kes bagi mendapat laporan forensik berkaitan telefon bimbit dan tiada sebarang jaminan ditawarkan.
Pada Selasa lepas, Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata polis berjaya melumpuhkan sindiket pemerasan seksual dalam talian dan menyelesaikan 32 kes pecah rumah serta kedai yang menyebabkan kerugian melebihi RM4 juta di sekitar Johor menerusi Ops Bugil dan Ops Shutter baru-baru ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial