KANGAR, 13 Feb (Bernama) -- Kerajaan Negeri Perlis mengisytiharkan 1 Ramadan 1447H sebagai hari Cuti Peristiwa bagi seluruh negeri itu setelah mendapat perkenan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.
Menteri Besar Perlis Abu Bakar Hamzah berkata sekiranya 1 Ramadan itu ditetapkan pada 18 Feb iaitu Rabu yang merupakan Hari Kelepasan Am sempena Tahun Baharu Cina maka Cuti Peristiwa 1 Ramadan bagi Perlis akan dibawa ke hari berikutnya.
“Sekiranya 1 Ramadan 1447H jatuh pada 19 Feb 2026 (Khamis), maka hari tersebut akan diisytiharkan sebagai Cuti Peristiwa. Pengisytiharan Cuti Peristiwa ini bertujuan memberi ruang dan peluang kepada umat Islam di negeri ini menyambut serta menghayati kedatangan Ramadan yang mulia dengan lebih sempurna.
“Selain itu, ia juga bagi menggalakkan pengukuhan nilai kekeluargaan serta persediaan awal bagi melaksanakan ibadah puasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Selain itu, Abu Bakar berkata kerajaan negeri turut memutuskan waktu bekerja penjawat awam di negeri Perlis pada setiap Jumaat sepanjang Ramadan bermula pada 8 pagi hingga 12.30 tengah hari.
Beliau berkata dengan pelaksanaan Waktu Bekerja Fleksi (WBF) pada Ramadan nanti, semua Ketua Jabatan di peringkat negeri bertanggungjawab untuk memastikan urusan perkhidmatan, termasuk perkhidmatan kaunter, berjalan lancar dan tidak terjejas.
Abu Bakar berkata semua Ketua Jabatan juga hendaklah membuat tindakan pemakluman berhubung waktu perkhidmatan kaunter sepanjang Ramadan bagi mengelakkan sebarang kekeliruan terhadap pelanggan yang terlibat.
“Bagi petugas peringkat Jabatan Persekutuan, tertakluk kepada Ketua Jabatan masing-masing untuk diguna pakai pelaksanaan WBF ini.
“Harapan saya agar keistimewaan pulang awal pada hari Jumaat ini dimanfaatkan sebaik mungkin untuk meningkatkan ibadah dan ketakwaan kita sepanjang Ramadan yang mulia untuk mendapatkan keredaan Allah SWT,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial