TAWAU, 13 Feb (Bernama) -- Seorang anggota polis dan suspek lelaki cedera terkena tembakan dalam pergelutan di Pusat Komersial Ba Zhong di sini hari ini.
Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau Superintenden Champin Piuh berkata kejadian berlaku pada 10.45 pagi ketika dua anggota yang menjalankan rondaan cegah jenayah di Jalan Persisiran Pantai menahan sebuah Perodua Viva putih untuk pemeriksaan.
“Bagaimanapun suspek yang berusia lingkungan 30-an bertindak melarikan diri dengan meninggalkan kenderaan lalu dikejar anggota polis dan berjaya ditahan.
“Semasa proses pemeriksaan dan tangkapan dijalankan, suspek enggan memberi kerjasama dan bertindak agresif sehingga berlaku pergelutan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Champin berkata dalam insiden itu, pistol pada tangan seorang anggota terlepas satu das tembakan dan terkena tangan kiri suspek manakala anggota yang membantu tangkapan turut mengalami kecederaan pada paha kanan.
Beliau berkata mereka dihantar ke Hospital Tawau untuk rawatan.
Pemeriksaan ke atas kenderaan suspek menemukan serbuk disyaki dadah jenis syabu dan siasatan lanjut masih dijalankan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial