WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Pemecatan Pemimpin Kanan Bersatu Pilihan Terbaik - Muhyiddin

14/02/2026 04:02 PM

KUALA LUMPUR, 14 Feb (Bernama) -- Tindakan disiplin yang diambil terhadap beberapa ahli Bersatu, termasuk pemimpin kanannya merupakan pilihan terbaik pada masa ini, dan tidak diambil secara sewenang-wenangnya.

Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata tindakan disiplin adalah sebahagian daripada mekanisme yang ada dalam perlembagaan parti untuk memastikan parti terus stabil dan kukuh.

Beliau berkata sebelum tindakan disiplin diambil, usaha telah dilakukan untuk mencari titik perdamaian dan menyelamatkan parti menerusi siri pertemuan dan perbincangan dengan pihak-pihak yang terlibat, namun tidak berhasil.

"Malah, terdapat segelintir pihak yang secara berterusan melakukan sabotaj terhadap parti dengan tujuan untuk memecah-belahkan parti, dan menggagalkan matlamat perjuangan parti.

"Sebagai Presiden dan pengasas parti Bersatu, saya mempunyai tanggungjawab untuk memastikan Bersatu terus kukuh dan berada atas landasan perjuangannya yang sebenar," katanya dalam kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, di sini hari ini. 

Muhyiddin berkata beliau juga telah memberikan tempat dalam barisan kepimpinan parti kepada individu yang diketahui menentangnya, namun tindakan yang bercanggah dengan perlembagaan dan disiplin parti dilakukan secara berterusan.

"Oleh itu, saya dan rakan-rakan dalam barisan kepimpinan Bersatu bertekad bahawa sudah sampai masanya proses disiplin parti, yang termaktub dalam perlembagaan Bersatu hendaklah diambil untuk menyelamatkan parti.

"Ini satu tindakan yang perlu diambil dan pilihan terbaik pada masa ini dalam usaha untuk memulihkan perpaduan parti dan menyelamatkan parti," katanya. 

Selain itu, Muhyiddin berkata mesyuarat MPT Bersatu juga bersetuju melantik Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin dan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu untuk menjalankan tugas sebagai Timbalan Presiden.

Setakat semalam, Lembaga Disiplin Bersatu telah memecat 17 ahlinya termasuk Timbalan Presiden Datuk Seri Hamzah Zainudin, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi yang juga Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, Ahli Parlimen Gerik Fathul Huzir Ayob, dan Ahli Parlimen Padang Rengas Kapten Azahari Hasan.

Sementara itu, Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ketika ditemui media selepas mesyuarat berkenaan berkata parti itu belum memutuskan calon bagi menggantikan Hamzah sebagai ketua pembangkang di Dewan Rakyat.

Beliau berkata perkara itu akan diteliti memandangkan Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut bukan lagi ahli Bersatu.

Azmin berkata Hamzah mempunyai tempoh 14 hari untuk mengemukakan rayuan kepada Lembaga Disiplin susulan pemecatannya dalam Bersatu. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan