WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Aliran Trafik Semua Lebuh Raya Utama Lancar Malam Ini

14/02/2026 10:46 PM

KUALA LUMPUR, 14 Feb (Bernama) -- Aliran trafik di semua lebuh raya utama di seluruh negara dilaporkan berada dalam keadaan lancar dan terkawal setakat 9.30 malam ini berbanding sedikit sesak pada sebelah siang tadi.

"Trafik sekarang ini memang lancar di semua arah. Bagaimanapun, kita menjangkakan jumlah kenderaan akan kembali meningkat semula selepas tengah malam ini," kata jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).

Menurut jurucakap itu, jangkaan peningkatan trafik selepas pukul 12 tengah malam disebabkan pengguna ingin merebut peluang menikmati diskaun bayaran tol sebanyak 50 peratus yang ditawarkan selain bagi mengelakkan kesesakan tinggi yang dialami pada sebelah siang.

Selain itu, LLM juga memaklumkan aliran trafik meningkat di beberapa kawasan titik panas (hotspot), namun keadaan keseluruhan masih lagi terkawal.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan pemberian diskaun tol sebanyak 50 peratus bersempena dengan sambutan Tahun Baharu Cina 2026 dengan pelaksanaan bermula dari 12.01 tengah malam, 14 Feb dan berakhir pada 11.59 malam, 15 Feb.

Orang ramai dinasihatkan supaya mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol PLUSLine 1-800-88-0000 dan laman X @plustrafik atau talian LLM 1-800-88-7752 serta laman X @llmtrafik.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan