Oleh Razif Rosli
IPOH, 15 Feb (Bernama) -- Bagi kebanyakan orang, tarian singa sering dilihat sebagai hiburan sempena Tahun Baharu Cina, namun di sebalik setiap gerakan dan paluan gendang yang bertenaga, terserlah nilai budaya melambangkan tuah, kesejahteraan dan keharmonian masyarakat.
Jurulatih wushu, tarian singa dan tarian naga Tan Chooi Eng, 74, atau mesra disapa ‘sifu Tan’ dari Persatuan Chin Woo Perak berkata tradisi singgah dari rumah ke rumah atau premis perniagaan membawa simbol ‘ong’ atau rezeki.
"Ia juga mengeratkan hubungan antara masyarakat kerana diturunkan daripada generasi ke generasi. Guru yang mengajar saya pun sudah tiada dan menjadi tanggungjawab saya untuk 'lepaskan' kepada generasi hari ini,” katanya ketika ditemui Bernama di Wisma Chin Woo di sini.
Menurut Tan yang telah lima dekad menyertai persatuan itu, selain Tahun Baharu Cina, tarian singa dan tarian naga turut dipersembahkan semasa majlis perkahwinan, perasmian perniagaan, kedai atau rumah baharu termasuk majlis keramaian.
Beliau berkata sebuah pasukan tarian singa biasanya memerlukan sekurang-kurangnya lapan hingga 10 orang termasuk pemain gendang, manakala bagi persembahan berskala besar, jumlah peserta boleh mencecah 20 orang.
Lebih menggembirakan, beliau berkata minat terhadap seni itu kini semakin berkembang dalam kalangan generasi muda yang mula menyertai latihan di sekolah dan kelab persendirian dan tidak lagi terikat pada batasan kaum.
“Sekarang bukan hanya masyarakat Cina, orang Melayu dan India pun pernah sertai dan kebiasaannya daripada kalangan remaja yang menunjukkan minat, jadi kita ajar mereka disiplin, kerjasama dan keyakinan diri," katanya.
Menurut Tan, latar belakang wushu menjadi nilai tambah buat pemain tarian singa atau naga kerana ia memerlukan kekuatan fizikal, keseimbangan serta kawalan pergerakan yang tepat.
Tan berkata penglibatan dalam wushu serta tarian singa dan naga juga membantu membentuk jati diri selain memberikan ruang kepada golongan muda melakukan aktiviti sihat dan bermanfaat.
Mengenai Persatuan Chin Woo Perak, Tan berkata ditubuhkan sejak 1924, ia antara organisasi seni mempertahankan diri dan kebudayaan tertua dan berpengaruh, sekali gus memainkan peranan penting dalam memelihara warisan budaya.
Persatuan yang juga dikenali “Ipoh Chinese Chin Woo Athletic Association” itu merupakan sebahagian daripada rangkaian gerakan Chin Woo berasal dari Shanghai, China pada awal abad ke-20 dengan matlamat memperkasakan seni bela diri tradisional, membentuk disiplin diri serta meningkatkan tahap kesihatan fizikal dalam kalangan masyarakat.
Penubuhan cawangannya di Ipoh pada awal 1920-an menjadikan Perak antara negeri terawal mengembangkan gerakan tersebut di Tanah Melayu, selain Kampar dan Taiping yang turut menjadi pusat latihan seni mempertahankan diri dalam komuniti setempat ketika itu.
Hampir satu abad penubuhannya, persatuan itu bukan sahaja berfungsi sebagai pusat latihan wushu malah menjadi institusi kebudayaan yang menghimpunkan pelbagai generasi melalui aktiviti kesenian, sukan serta program kemasyarakatan.
Ketika musim Tahun Baharu Cina, persatuan itu antara yang aktif mempersembahkan tarian singa dan naga atas jemputan ke rumah, premis perniagaan serta acara rasmi di sekitar Perak.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial