WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Kad SIM Mangsa Kebakaran Orang Asli Diganti Percuma

15/02/2026 04:15 PM

JOHOR BAHRU, 15 Feb (Bernama) -- Kementerian Komunikasi menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Johor akan membantu menggantikan kad SIM milik mangsa kebakaran di Kampung Orang Asli Teluk Jawa secara percuma.

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata dianggarkan kira-kira 70 kad SIM rosak dalam kejadian Khamis lepas dan pihaknya akan bekerjasama dengan syarikat telekomunikasi bagi menguruskan penukaran berkenaan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Muafakat Taman Megah Ria, di sini.

“Biasanya terdapat caj dikenakan bagi penukaran kad SIM, namun kami akan berbincang dengan syarikat telekomunikasi terbabit bagi memastikan mangsa dapat menggantikan kad SIM secara percuma,” katanya pada sidang media selepas melawat mangsa di PPS berkenaan, hari ini.

Beliau berkata langkah itu penting bagi memastikan mangsa terus dapat menggunakan telefon bimbit untuk berhubung dengan ahli keluarga serta memperoleh maklumat terkini.

Terdahulu, Teo yang juga Pengerusi DAP Johor turut menyampaikan sumbangan wang tunai RM500 kepada 40 keluarga masyarakat Orang Asli yang ditempatkan di PPS berkenaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan