WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Wanita Didakwa Salah Guna Wang Syarikat RM465,500

16/02/2026 04:30 PM

JOHOR BAHRU, 16 Feb (Bernama) -- Seorang wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas lima pertuduhan salah guna harta membabitkan wang sebuah syarikat berjumlah RM465,500 antara Ogos 2020 hingga Disember 2021.

Sahela Abdul Rahim, 42, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Zamir Suhaimee.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, Sahela didakwa dengan curangnya menyebabkan Shekeen Abdul Rahim, 39, melupuskan harta milik Suria Motor (M) Sdn Bhd dengan menandatangani tiga keping cek Ambank Islamic.

Dua cek bernilai RM80,000 setiap satu serta satu cek bernilai RM75,000, yang juga wang hasil pembayaran penjualan permit import kenderaan atas nama tertuduh.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Suria Motor (M) Sdn Bhd, No. 23 dan 25, Jalan Serampang, Taman Sri Tebrau di sini, pada 24 Ogos dan 13 Okt 2020 serta 11 Feb 2021.

Bagi pertuduhan keempat dan kelima, wanita itu didakwa dengan curangnya menyebabkan Shekeen melupuskan harta milik syarikat iaitu wang syarikat, masing-masing berjumlah RM135,000 dan RM95,500, yang merupakan hasil pembayaran penjualan permit import kenderaan dengan memindahkan wang tersebut ke akaun miliknya.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di lokasi sama pada 23 Nov dan 29 Dis 2021.

Kesemua pertuduhan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun serta sebat, dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan 3 April ini untuk sebutan semula kes serta serahan dokumen.

Tertuduh yang diwakili peguam Khairulazwad Sariman membayar jaminan itu. 

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Asraf Mohamed Tahir.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan