WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Tibi: Orang Ramai Digesa Ambil Langkah Pencegahan Semasa Musim Perayaan

16/02/2026 05:48 PM

KUALA LUMPUR, 16 Feb (Bernama) -- Orang ramai digesa mengambil langkah pencegahan untuk mengelak daripada terkena penyakit tuberkulosis (tibi) sepanjang musim perayaan Tahun Baru Cina, Ramadan dan Aidilfitri, kerana peningkatan perhimpunan dalam rumah dan kontak rapat boleh meningkatkan risiko jangkitan.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial, Azrul Mohd Khalib menasihati orang ramai agar mengambil langkah pencegahan mudah, termasuk memakai pelitup muka di persekitaran tertutup yang sesak, meningkatkan pengudaraan di dalam rumah dan tempat acara dan mengelakkan kunjungan jika mengalami gejala.

“Seorang individu yang berjangkit tanpa disedari boleh menjangkiti ramai individu lain. Kajian di kawasan yang mempunyai jangkitan tinggi menunjukkan bahawa lebih daripada 80 peratus penularan berlaku di luar isi rumah.

"Kita perlu memandang serius ancaman tibi terutamanya warga emas dan mereka yang menghidap penyakit kronik, yang mudah terdedah," katanya dalam satu satu kenyataan hari ini.

Azrul berkata tibi merebak melalui udara apabila orang yang dijangkiti batuk, bersin, bercakap atau menyanyi. Penularan boleh berlaku di rumah yang sesak, pengangkutan awam, tempat kerja, asrama dan tempat ibadat.

"Jika anda mengalami simptom seperti batuk berpanjangan, batuk berdarah atau penurunan berat badan yang cepat, jangan abaikan atau cuba berubat sendiri. Pakai pelitup muka, dapatkan rawatan segera dan elakkan melawat orang lain," katanya.

Beliau juga melahirkan kebimbangan tentang kemunculan tibi rintang ubat, termasuk tibi rintang pelbagai ubat (MDR-TB) dan tibi rintang ubat secara meluas (XDR-TB), yang mungkin merebak apabila rawatan tidak lengkap atau terganggu.

"Tibi boleh dirawat secara berkesan dengan antibiotik, tetapi rawatan penuh mesti dilengkapkan. Terlepas dos boleh meningkatkan risiko kerintangan ubat, yang lebih sukar dan mahal untuk dirawat serta menimbulkan risiko yang lebih besar kepada pesakit dan masyarakat," katanya.

Sepanjang lima tahun lepas, kes tibi di Malaysia menunjukkan trend peningkatan yang stabil, dengan lebih daripada 26,000 kes direkodkan pada 2024. Pada tahun yang sama, 2,580 kematian berkaitan tibi telah dilaporkan daripada 26,183 kes.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan