KUALA LUMPUR, 16 Feb (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan rakyat agar tidak membiarkan emosi, hasutan serta perbezaan pandangan meretakkan hubungan dan menghakis rasa percaya yang telah sekian lama terjalin dalam masyarakat majmuk negara ini.
Dalam ucapan selamat menyambut Tahun Baharu Cina esok, Anwar berkata perbezaan itu sebaliknya harus dijadikan ruang untuk memperteguh semangat muhibah, menolak prasangka serta memilih jalan dialog, rundingan dan kebijaksanaan demi mengekalkan keharmonian bersama.
“Tahun Baharu Cina sentiasa mengingatkan kita tentang kemakmuran, harapan dan kekuatan untuk melangkah ke hadapan dengan penuh keyakinan. Pada Tahun Kuda ini, ketekunan, keberanian dan semangat juang diraikan seiring tuntutan untuk bertindak dengan kebijaksanaan serta kesederhanaan.
“Confucius mengingatkan kita bahawa keharmonian lahir apabila manusia saling menghormati dan memahami satu sama lain. Inilah asas yang memungkinkan masyarakat berbilang kaum hidup bersama secara aman walaupun berbeza latar budaya dan kepercayaan,” kata beliau dalam hantaran di Facebook.
Anwar turut menzahirkan keyakinan bahawa Malaysia akan terus melangkah gagah selagi keharmonian, rasa hormat dan ihsan dijadikan pegangan bersama serta mendoakan agar seluruh rakyat dilimpahkan kesejahteraan dan kemakmuran.
“Gong Xi Fa Cai! Xin Nian Kuai Le! Ma Nian Xin Da Yun!,” kata Perdana Menteri.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial