WILAYAH - UTARA > BERITA

45 Penghuni Pusat Jagaan Di Buntong Mohon Bantuan, Premis Dilanda Banjir

18/02/2026 02:10 PM

IPOH, 18 Feb (Bernama) -- Penghuni sebuah pusat jagaan dikendalikan oleh Kuil Sri Annapurani Alayam, di Buntong, di sini, merayu orang ramai dan mana-mana agensi menyalurkan bantuan keperluan asas selepas premis itu dilanda banjir kilat Isnin lepas. 

Petugas kuil, S. GK Gayathri, 35, berkata 45 penghuni yang terdiri daripada keluarga, kanak-kanak dan  anak yatim kini berdepan kesukaran apabila hampir keseluruhan kelengkapan asas harian musnah ditenggelami air.

Katanya antara keperluan mendesak ketika ini adalah tilam, selimut, bantal, pakaian, beg dan kasut sekolah, selain periuk nasi elektrik, almari pakaian, lampin pakai buang serta susu formula.

“Air naik terlalu cepat dan kami memang tak sangka banjir boleh berlaku di kawasan ini kerana sepanjang kira-kira 16 tahun berada di sini, tidak pernah lagi berlaku kejadian seperti ini.  

"Apabila sedar, air sudah terlalu tinggi dan kami tidak sempat menyelamatkan barang-barang kerana lebih memikirkan keselamatan kanak-kanak dan warga emas yang duduk di sini,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini. 

Gayathri berkata air mencecah hingga paras bahunya, dengan anggaran ketinggian kira-kira 1.6 meter, menyebabkan perabot, tilam, televisyen dan pelbagai peralatan elektrik lain rosak sepenuhnya.

"Walaupun bantuan awal telah diterima dalam bentuk makanan, air mineral dan lampin pakai buang, jumlah itu masih tidak mencukupi untuk menampung keperluan semua penghuni dalam jangka masa panjang.

“Kami kini benar-benar memerlukan bantuan masyarakat untuk memulihkan keadaan. Ramai dalam kalangan penghuni adalah kanak-kanak dan ada juga anak yatim yang bergantung sepenuhnya kepada pusat jagaan ini,” katanya.

Gayathri berkata pihaknya berharap lebih ramai penyumbang tampil menghulurkan bantuan sama ada dalam bentuk barangan baharu atau terpakai yang masih elok, termasuk kelengkapan tidur dan pakaian.

“Kami amat menghargai sebarang bantuan dan buat masa ini, kami sedang berusaha untuk memastikan semua penghuni mempunyai tempat tidur yang selesa serta keperluan asas mencukupi,” katanya yang boleh boleh dihubungi di talian 011-2646 4960 bagi penyaluran bantuan.

Terdahulu, hujan lebat luar biasa dengan taburan melebihi 80 milimeter (mm) dikenal pasti sebagai punca utama kejadian banjir kilat di beberapa kawasan di daerah Kinta pada Isnin lepas.

Kawasan hulu Sungai Kinta dan Sungai Pari merekodkan jumlah taburan hujan 83.5mm hingga menyebabkan limpahan Sungai Pari ke kawasan penempatan rendah dan berisiko khususnya di sekitar Manjoi, Buntong, Taman Hock Aun dan Jalan Kuala Kangsar. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan